Fotograf Seorang Perindu

Aku melihat sesuatu yang hilang;
suara-suara semalam
kata-kata yang tenggelam
gesekan celo yang membungkam
cerita yang kian terpadam
(cahaya pun berlari
menjejaki denting piano
yang kelamaan dipudar
oleh angin, oleh fragmen
oleh bunyian hati penyair)

Aku melihat sesuatu yang hilang
terungkap pada kerlipan masa
cetakan hitam putih
fotograf seorang perindu
yang dulu.

ogos 2015

Vignet Padang Pasir (bhg 1)

Tidak ada siapa yang tahu dengan kepastian, mengapa terbangun rumah-rumah puisi itu di tengah padang pasir yang gersang. Mereka yang berkelana hanya mahu berhenti tidur di rumah-rumah mabuk dan perempuan. Hanya si majnun yang mahu berhenti beristirehat di rumah puisi dan menogak air dari perahan buah anggur dari ladangnya.

(Dipetik dari buku kumpulan puisi saya bertajuk ‘Di pinggulmu Ada Bulan’ yang bakal diterbitkan oleh Sang Freud Press pada bulan April ini.)

Tremolo Rindu

I

Aku membaca misteri
suara-suara yang kehilangan
sewaktu dinding batu yang dingin
menjadi layar kebuntuan
rindu-rindu kita yang dibenamkan

II

Setelah malam
tidak lagi membelah
bayangmu kini hadir
sebagai limpahan neon
yang tidak berwarna
di dada aspalku yang hitam

III

Apakah kesilapan kita
kerana tidak bisa
berenang bersama
goncang di samudera
yang di suatu ketika
adalah taman tema
yang menyebar cinta?

IV

Kerana kesakitan
kau harus melepaskan
Tidakkah kau tahu
setelah saat itu jiwaku
pun mati dengan perlahan
kerana mahu melupakan?

V

Aku bergetar di tremolo rindu
yang bergema di setiap panggilan
namamu yang menjadi tajuk
sebuah puisi yang tak mahu mati.

[Mac, 2015]

Vignet Dari Ladang

Hei! Akulah di konserto itu!

Manusia hilang satu persatu. Ditelan kekeping hitam yang datang dari pembundaran. Di tepi-tepi susur laluan, orang-orang memegang garis. Ada yang patah. Tajamnya menyucuk kantung-kantung yang terisi keju dan gula. Dari kekenyalan, perempuan-perempuan membuka kelengkangnya. Ada yang menari di celah-celah benua. Lelaki-lelaki mengganyang gandum-gandum di belakang gudang.  Menjerut leher-leher mereka dengan seutas tali pinggang yang ditempa dari kulit lembu Amerika. Amen! Sahut mereka. Di rumah-rumah ibadat tubuh-tubuh kering hitam memanjat doa dengan nada suria. ‘Kemenangan bagi manusia yang terkalah!’ Seru paderi tua itu. Wanita muda yang tidak percaya. Amen! Sahut mereka dengan lebih tinggi. Lebih semangat. Pedati-pedati telah diikat pada kuda-kuda gagah dari utara. Cemeti mensiat-siat daging-daging hamba. Tuan-tuan yang menggatah peha kambing. Meminum perahan anggur dari ladang keringat dan darah. Amen! sahut mereka dengan ketakberdayaan. Kini dengan lebih galak lagi sang paderi itu berkhutbah, ‘Minumlah dari darah, minumlah air suci dari syurga! Untuk setiap nyawa yang dipasak, lima kati pahala.’ Amen!