Memori

Aku mahu kau kembali. Sebagai kegelapan yang tak akan mati. Sebagai kemendungan hati.

Kau adalah memori. Dan senipis usap melodi yang ngeri. Sewaktu malam menjadi penjara diri. Dan masa berhenti mencatatkan puisi.

Aku mahu kau kembali. Sebagai pedih dari tusukan duri-duri. Sebagai keranapan mimpi.

Kau adalah memori. Dan tunggangan rindu yang terus berlari. Dan malam yang berwajah pagi. Dan masa yang membakar puisi.

Aku hanya mahu kau kembali.

Vignet Dari Ladang

Hei! Akulah di konserto itu!

Manusia hilang satu persatu. Ditelan kekeping hitam yang datang dari pembundaran. Di tepi-tepi susur laluan, orang-orang memegang garis. Ada yang patah. Tajamnya menyucuk kantung-kantung yang terisi keju dan gula. Dari kekenyalan, perempuan-perempuan membuka kelengkangnya. Ada yang menari di celah-celah benua. Lelaki-lelaki mengganyang gandum-gandum di belakang gudang.  Menjerut leher-leher mereka dengan seutas tali pinggang yang ditempa dari kulit lembu Amerika. Amen! Sahut mereka. Di rumah-rumah ibadat tubuh-tubuh kering hitam memanjat doa dengan nada suria. ‘Kemenangan bagi manusia yang terkalah!’ Seru paderi tua itu. Wanita muda yang tidak percaya. Amen! Sahut mereka dengan lebih tinggi. Lebih semangat. Pedati-pedati telah diikat pada kuda-kuda gagah dari utara. Cemeti mensiat-siat daging-daging hamba. Tuan-tuan yang menggatah peha kambing. Meminum perahan anggur dari ladang keringat dan darah. Amen! sahut mereka dengan ketakberdayaan. Kini dengan lebih galak lagi sang paderi itu berkhutbah, ‘Minumlah dari darah, minumlah air suci dari syurga! Untuk setiap nyawa yang dipasak, lima kati pahala.’ Amen!

Yang Tak Terkongsikan

Di rumah ini, bilang temanku itu, aku boleh berkongsi apa saja dari pemilikannya: Wajahnya, matanya, dadanya, punggungnya, tangan kakinya, pakaian dan sepatunya, rokoknya, keretanya, teman wanitanya, bahkan alat sulitnya itu sekalipun jika aku mahu. Namun, bilangnya kemudian, ada satu yang tak mungkin akan terkongsikan di antara kami:

Sebentuk bayangnya dalam cermin muka.

Dari Kota Sepi (Memo No. II)

Mil,

Aku suka melihat tumbuhan yang hidup di bukitan kota. Di sana ada pokok-pokok yang tumbuh menjelirkan daun-daun cerita, yang boleh kau bebas petik dan digubah menjadi bait-bait syair.

Aku suka menyaksi langit malam yang kelabu salju; di sana pasti ada sekumpulan bidadari, tekun menggulungi awan-awan untuk hiasan esok hari.

Aku suka membaca lukis-lukis di dinding-dinding maya; anak-anak kecil melukiskan keriangan, pemuda-pemuda melukiskan resah, gadis-gadis melukiskan angan;

Ya Mil, ku tahu duniaku masih seperti dulu.