Adiwira

Pekik suaramu yang melalukan darah dengan pelan di sepanjang perparitan yang menghubungkan gegendangku dengan cahaya. Seketul hati yang kuperam kini berderai membentuk segerombolan komet yang menghentam kesedaranku. Kau menyarungkan mantelmu ke tubuhku yang tidak lagi mahu merasakan kehangatan.

“Terbanglah kau, menjadi adiwiraku.” bisikanmu persis bisikan yang pertama kau hembuskan. Aku pun menjadi debu. Seketika menegap kembali sebagai pepejal yang mati. Sebelum nyawaku yang seterusnya ditiupkan kembali ke dalam tubuh

“Untuk sekelian kalinya, sebagai adiwiraku.”

Bisikanmu terus meresap ke permukaan belulangku seperti aroma ibu yang menyamankan.

Dan aku melihat langit yang menghulurkan tangan. Yang seketika membersitkan petir sebagai tunggangan

[2015]

Vignet Padang Pasir (bhg 1)

Tidak ada siapa yang tahu dengan kepastian, mengapa terbangun rumah-rumah puisi itu di tengah padang pasir yang gersang. Mereka yang berkelana hanya mahu berhenti tidur di rumah-rumah mabuk dan perempuan. Hanya si majnun yang mahu berhenti beristirehat di rumah puisi dan menogak air dari perahan buah anggur dari ladangnya.

(Dipetik dari buku kumpulan puisi saya bertajuk ‘Di pinggulmu Ada Bulan’ yang bakal diterbitkan oleh Sang Freud Press pada bulan April ini.)

Memori

Aku mahu kau kembali. Sebagai kegelapan yang tak akan mati. Sebagai kemendungan hati.

Kau adalah memori. Dan senipis usap melodi yang ngeri. Sewaktu malam menjadi penjara diri. Dan masa berhenti mencatatkan puisi.

Aku mahu kau kembali. Sebagai pedih dari tusukan duri-duri. Sebagai keranapan mimpi.

Kau adalah memori. Dan tunggangan rindu yang terus berlari. Dan malam yang berwajah pagi. Dan masa yang membakar puisi.

Aku hanya mahu kau kembali.

Vignet Dari Ladang

Hei! Akulah di konserto itu!

Manusia hilang satu persatu. Ditelan kekeping hitam yang datang dari pembundaran. Di tepi-tepi susur laluan, orang-orang memegang garis. Ada yang patah. Tajamnya menyucuk kantung-kantung yang terisi keju dan gula. Dari kekenyalan, perempuan-perempuan membuka kelengkangnya. Ada yang menari di celah-celah benua. Lelaki-lelaki mengganyang gandum-gandum di belakang gudang.  Menjerut leher-leher mereka dengan seutas tali pinggang yang ditempa dari kulit lembu Amerika. Amen! Sahut mereka. Di rumah-rumah ibadat tubuh-tubuh kering hitam memanjat doa dengan nada suria. ‘Kemenangan bagi manusia yang terkalah!’ Seru paderi tua itu. Wanita muda yang tidak percaya. Amen! Sahut mereka dengan lebih tinggi. Lebih semangat. Pedati-pedati telah diikat pada kuda-kuda gagah dari utara. Cemeti mensiat-siat daging-daging hamba. Tuan-tuan yang menggatah peha kambing. Meminum perahan anggur dari ladang keringat dan darah. Amen! sahut mereka dengan ketakberdayaan. Kini dengan lebih galak lagi sang paderi itu berkhutbah, ‘Minumlah dari darah, minumlah air suci dari syurga! Untuk setiap nyawa yang dipasak, lima kati pahala.’ Amen!