Geng Pengintip [The Spies] oleh Luis Fernando Verissimo

the spies

Bab 7 (petikan)

“Mengintip itu menunggu.” Itu kata-kata John Le Carre. Kau posisikan ejen kau di tempatnya dan kemudian tunggu untuk melihat apa yang berlaku, menantikan reaksi daripada mereka yang dintip; menanti ejen mereka untuk muncul dan berharap supaya tidak berlaku perkara yang buruk. Sehingga Rabu, kami masih lagi tidak mendengar apa-apa berita daripada Dubin. Sepatutnya dia boleh saja menelefon saya di rumah atau di pejabat, tapi dia tak lakukannya. Ibu dia pun tak terima apa-apa berita langsung daripadanya, meskipun dia tidaklah kelihatan seperti risau sangat tentang perkara tersebut. Saya agak Dubin memang sudah biasa bermalam di luar selama beberapa hari dan tidak menelefon rumahnya langsung untuk memberitahu di mana dia berada. Saya singgah ke Bar do Espanhol selepas pulang daripada pejabat. Saya jenguk-jenguk di sekitar bar, tetapi tak nampak langsung bayang Profesor Fortuna. Saya perasan Tavinho duduk di sebuah meja bersama seorang lelaki bercukur licin serta berambut kemas sikat ke belakang, memakai blazer berwarna biru dengan butang keemasan. Saya cuma menyedari lelaki tersebut sebenarnya ialah Profesor apabila saya tiba di meja mereka—dia memang betul-betul berubah. Saya tak pernah nampak dia tanpa janggut lebat dan kot panjangnya yang berwarna kulit tikus basah itu. Dia menujuk pada sebuah bagasi di samping kerusinya dan berkata, “Dalam masa sejam lagi, aku akan bertolak ke Frondosa menaiki bas malam.”

“Profesor pasti ke?” Saya rasa bertanggungjawab untuk melindunginya. Saya tak pernah tahu tentang hidupnya di luar Bar do Espanhol ini. Saya tahu yang dia seorang posur, tapi cuma itu sahaja. Mungkin dia tak ada kehidupan langsung di luar bar ini. Mungkin ini ialah terjahan pertama dia ke dunia realiti. Dan sayalah yang bertanggungjawab.

“Aku memang dah sedia ni,” katanya.

“Nanti kejap. Kita kena selesaikan beberapa perkara dulu. Saya perlu bagi Profesor duit untuk—“

“Duit aku ada. Tiket pun aku dah beli.”

Betulkah Profesor ini seorang jutawan yang pelik? Saya tak pernah tahu langsung tentang dirinya.

“Bagaimana pula dengan legenda kamu?” tanya Tavinho yang memang gemar menggunakan jargon. “Profesor pergi sana sebagai siapa nanti?”

“Sebagai ahli falsafah, yang sedang berkelana mencari erti kebenaran.”

“Dan kenapa pula Prof nak mencari kebenaran di Frondosa?”

Dia tak jawab langsung pertanyaan saya dan berkata, “Kalau Dubin telefon, suruh dia balik sini, beritahu dia yang kerja-kerja yang serius akan bakal bermula. Ini kerja untuk orang-orang yang berpengalaman.” Dia dah bersiap sedia mahu beredar bilamana saya terfikir nak tanyakan padanya:

“Kalau ada apa-apa yang berlaku pada Prof, siapa yang saya patut hubungi?”

“Benda apalah yang boleh berlaku pada aku ni?” Dan waktu dia sudahpun separuh jalan ke pintu depan untuk keluar, dia menyambung, “Bukan ke semua ni cuma fiksyen je?”

*terjemahan oleh Hadi Ja’afar

Yang Mengintip (petikan draf)

iii.

Pertama kali saya bertemu dengan lelaki itu ialah ketika saya pergi membeli belah barang-barang dapur di pasaraya Tesco di Kajang. Ada sesuatu yang menarik minat saya terhadap persona lelaki asing ini yang ketika itu sedang tekun memilih daripada beberapa buku roti gandum serat yang tersusun pada rak roti di seksyen bakeri. Dia nampak begitu teratur dan tersusun. Dan ini sebenarnya amat menjengkelkan saya. Segala-galanya tentang lelaki ini kelihatan seperti sesuatu yang telah dirancang dan diaturcarakan. Dari pergerakan fizikalnya, mimik wajahnya, kemasan pakaiannya, lirikan matanya, sentuhan jemarinya, bolak-balik tangannya yang menghayun secara konstan dari kiri ke kanan seolah-olah dia seperti seketul mesin yang telah terlebih dahulu diprogramkan jurutera untuk melakukan kerja-kerja kehidupannya. Ya, sangat menjengkelkan! Jiwa manakah yang mempunyai ketahanan dan kesabaran terhadap kerigidan sebegitu? fikir saya ketika itu sambil separa sedarnya membelek kandungan nutrisi pada label sebuah botol minuman kultur berperisa strawberi. Tetapi ada sesuatu yang seakan-akan sedang menarik perlahan-lahan minat saya untuk mengetahui lebih lanjut tentang manusia yang serba teratur ini. Mungkin disebabkan kami sebenarnya berada pada dua sisi magnet yang berlainan. Saya di sisi yang negatif dan dia di sisi yang positif. Atau sebaliknya. Itu tak penting sebenarnya, kerana apa yang pasti sejak pada hari itu saya sudah memasang tekad untuk menjadi mata-mata pada kehidupan seorang lelaki asing; dia yang aneh, kekok, mekanikal dan yang sangat menjengkelkan itu. Dan saya ambil keputusan tersebut ketika saya menunggu giliran ayam segar saya untuk dipotong enam belas oleh si pemotong ayam berbangsa nepal.

Mono-Kreasi

Dan bongkah kesedaran saya kini seolah terpamer di tengah-tengah datar di atas letak alas yang terbiasa dilihat di muzium-muzium seni. Dengan begitu jelas juga saya melihat fragmen-fragmen hidup yang memegun terbingkai di dinding keras bangun menegak dari entah mana. Dari duduk diam saya meniliti, satu persatu dari bingkai-bingkai tersebut. Pelbagai postur dan gaya. Pelbagai riak dan rasa. Pelbagai cerita dan seloka juga. Setiap satunya memikul pukal-pukal yang termampat helai-helai pengalaman dan nostalgia keberadaannya. Fragmen-fragmen ini tidak kaku, fikir saya di benak. Seperti ada sesuatu yang cergas sedang memain peran di sudut belakang sedar. Pada sebalik kepegunan imej-imej, seolah ada penceritaan secara langsung kepada wadah pencernaan intelek saya. Penceritaan yang bukan di dalam bahasa mana-mana. Penceritaannya berlangsung di dalam bahasa yang senang terhadam tapi didatangkan tanpa bentuk dan strukturnya.