Memori & Masa

Mereka kata, memori akan pergi meninggalkan kita, dengan senyap dan pantas, seperti cebis koyakan mukasurat novel lama di laluan air deras di bawah titi, kalau kau percaya pada kuasa penyembuhan masa, yang mana pada aku mengarut, kerana satu perkara yang aku boleh pastikan ialah, masa, sedang ia tidak memberi apa-apa pun kuasa kesaktian, merupakan musuh ketat bagi mereka yang patah jiwa.

Advertisements

The Virgin Eater oleh Yusof Abrak [petikan draf]

Dia melihat manusia yang sudah tidak peduli. Apa kegilaan dan kekacauan yang beruntai-untai di dinding-dinding maya media sosial, dia tidak pernah menemukan sekelumit pun jawapan. Apakah keperluan ini? bentaknya berkali-kali di dalam hati. Kebencian, kebingungan, dendam dan perseteruan antara jiwa-jiwa yang terapung di atas garisan kabur yang memisahkan hitam dan putih. Kerana itu mereka harus membayar. Dengan darah. Darah di serata sudut. Cerai-berai daging-daging manusia yang masih segar merekap di setiap permukaan rata di dalam ruang yang hanyir ini…

1.
Dentingan muzik daripada Dante Sonata gubahan Liszt yang termain pada sebuah kotak muzik usang berkali-kali mengetuk gegendang telinganya. Rentak dan irama. Itu saja yang menjadi pengatur setiap gerak tubuh dan fikirnya. Kertas-kertas putih bersaiz A4 yang sudah tertulis berserakan di atas lantai. Apakah pengakhirannya, cerita ini? Dia tidak akan tahu selagi penanya belum mahu menemukan bab yang terakhir itu. Dia akan terus menulis. Dan manusia akan terus tidak memperdulikan. Tetapi dia harus terus peduli. Kepada manusia, kepada dunia, kepada kehidupan, kepada dirinya. Dengan sedikit pengorbanan pastinya. Tanpa pengorbanan, tidak adalah matlamat terakhir yang mahu dikejar. Walau apapun matlamat akhir tersebut. Untuk Tuhan? Untuk Kemanusiaan? Untuk Keindividuan? Untuk apapun, mesti ada yang dikorban, yang terkorban. Rela atau tak merelakan. Terpaksa atau dipaksakan. Selama beribu-ribu tahun, kemanusiaan itu terus terkehadapan kerana adanya pengorbanan. Tak ada pengorbanan, tak ada apa yang dinamakan progres.

Di dalam bab yang terakhir, dia bertemu dengan Socrates yang meminum daripada sebekas racun di suatu subuh. Pada malam sebelumnya, Crito, salah seorang sahabat yang mencintainya, memujuk Socrates untuk lari daripada tahanan dan sekaligus menyelamatkan nyawanya. Tapi Socrates enggan. Kenapa? Kerana manusia yang mengerti apa itu adil tidak akan melanggar undang-undang yang telah mengikat subjeknya di bawah satu payung perlembagaan demokrasi. Kerana undang-undang harus dituruti seperti seorang anak yang harus menturuti perintah orang tuanya. Socrates mengerti apa itu adil. Dan undang-undang yang dijunjungnya di dalam bakul keadilannya itu. Walaupun undang-undang itu bakal menuangkan sebekas racun ke tenggorokannya? Walaupun undang-undang itu terbangun daripada kolum-kolum yang terbit daripada ketakadilan, ketakrasionalan, kekorupan dan kebodohan penggubalnya? Apakah manusia sebijak Socrates boleh jadi begitu naif? Seseorang itu tidak seharusnya membalas ketidakadilan dengan ketidakadilan, itu tegas Socrates kepada Crito persis seorang nabi yang diutuskan. Ya, dia yang mengutus Socrates. Dia yang mempengaruhi Socrates. Socrates ialah pesuruhnya yang naif. Tak ada siapa yang menyangka bahawa dialah orangnya yang menggalakkan Socrates untuk mencari kebenaran—kalaulah itu benar-benar mempunyai maksud, dan ya, apa yang ditulis Nietzsche itu memang benar—meng’korup’kan para pemuda di Athens? Itu kerja dia. Meletus duduk di bawah telunjuknya. Untuk mengkehadapankan kemanusiaan, Socrates harus dikorbankan. Itupun sebelum dia yakin tentang kemampuan Plato sebagai penyambung lidah gurunya. Republik ialah ideanya. Bagaimana di suatu malam yang dingin di Athens, ketika duduk meminum khamar di beranda rumah Crito, dia mengingatkan kepada pemuda yang sedang berduka itu tentang bagaimana dengan kata-kata dan fiksyen, ajaran Socrates dapat diabadikan untuk tatapan kaum manusia yang bakal datang di kemudian hari. Yang dia berupaya untuk mencipta sebuah lagenda gurunya yang mengambil bentuk di dalam sebuah karakter fiksyen. Atau dialog. Dia tak pasti tentang bentuk dialog tersebut. Itu mungkin hasil perahan kreativiti dan imaginasi si Plato sendiri. Yang dia pasti, tanpa saranan dan galakan kepada Plato waktu itu, maka tidak adalah gagasan falsafah yang setanding kitab Republik. Semuanya demi kemajuan. Progres. Continue reading “The Virgin Eater oleh Yusof Abrak [petikan draf]”