Klimaks

Satu perkara yang saya boleh simpulkan tentang pembacaan cerpen ialah pembacanya jarang-jarang dapat klimaks di akhir penceritaan. Ianya sekadar hubungan kelamin yang berulang-ulang tanpa kepuasan akhir. Tapi itu bagi saya paradoks pembacaan cerpen. Tak seperti novel, pembaca cerpen tak menjangkakan turutan foreplay, coitus, klimaks dan resolusi daripada karya seorang cerpenis. Sebuah cerpen mungkin saja hanya sebuah foreplay, atau ulangan coitus yang sama, atau rakaman sebuah resolusi dari fiksyen yang lupus tetapi ia tidak pernah sebuah klimaks. Secara mudahnya saya katakan, pembaca cerpen mahu ditinggal terkapai-kapai di dalam pelayaran pembacaan mereka. Mereka, atas sebab dan alasan yang saya tak dapat nak jelaskan, mahu dikecewakan. Dengan berulang-ulang kalinya.

Advertisements

Rosak (Malfunction)

Saya rasa komputer saya dah nak jahanam. Tapi saya tak rasa yang komputer itu sendiri yang sebenarnya bermasalah, cuma kibod dia saja yang dah rosak. Komputer ini saya beli yang dah terpakai, yang saya jumpa dalam iklan klasified tak lama dulu. Mamat yang jual komputer tersebut dekat saya memang kelihatan pelik sedikit. Dia sambut saya di pintu dengan memakai jubah sutera dan topi fedora, seperti gaya pelacur atasan dalam filem art hitam putih. Dia buatkan saya segelas teh dengan daun mint yang dia tanam dekat tepi tingkap. “Kau takkan menyesal beli komputer ni.” dia yakinkan saya. Jadi saya pun bagi dia lima ratus, dan sekarang ini saya menyesal. Iklan tersebut cakap dia orang nak jual semua barangan mereka sebab mereka nak pergi mengembara dalam masa yang lama, tapi mamat yang pakai topi fedora tersebut bagitahu saya perkara yang sebenar: bila-bila masa saja dia akan mati yang disebabkan wabak penyakit, tapi takkanlah kau nak iklankan macam itu, terutamanya bila kau nak suruh orang datang beli barang kau. “Kebenarannya,” dia bagitahu saya, “kematian ni macam satu pengembaraan yang panjang ke suatu tempat, jadi iklan tu bukanlah menipu.” Bila dia cakap macam itu, suara dia terketar-ketar, optimistik, meskipun seketika dia rasa kematian tu macam satu trip yang fun ke suatu tempat yang baru, dan bukannya kegelapan tak  guna yang sesakkan nafas kau. “Ni ada warranty ke?” tanya saya, dan mamat itu ketawa. Saya sebenarnya serius, tapi bila dia ketawa macam itu, saya rasa agak pelik sedikit jadi saya pun berpura-pura yang sebenarnya saya cuma bergurau saja.

(diterjemah oleh Ahmed Kamus dari kumpulan Cerita Pendek ‘The Nimrod Flipout’ karangan Etgar Keret)

Mono-Kreasi

Dan bongkah kesedaran saya kini seolah terpamer di tengah-tengah datar di atas letak alas yang terbiasa dilihat di muzium-muzium seni. Dengan begitu jelas juga saya melihat fragmen-fragmen hidup yang memegun terbingkai di dinding keras bangun menegak dari entah mana. Dari duduk diam saya meniliti, satu persatu dari bingkai-bingkai tersebut. Pelbagai postur dan gaya. Pelbagai riak dan rasa. Pelbagai cerita dan seloka juga. Setiap satunya memikul pukal-pukal yang termampat helai-helai pengalaman dan nostalgia keberadaannya. Fragmen-fragmen ini tidak kaku, fikir saya di benak. Seperti ada sesuatu yang cergas sedang memain peran di sudut belakang sedar. Pada sebalik kepegunan imej-imej, seolah ada penceritaan secara langsung kepada wadah pencernaan intelek saya. Penceritaan yang bukan di dalam bahasa mana-mana. Penceritaannya berlangsung di dalam bahasa yang senang terhadam tapi didatangkan tanpa bentuk dan strukturnya.