Vignet Padang Pasir (bhg 1)

Tidak ada siapa yang tahu dengan kepastian, mengapa terbangun rumah-rumah puisi itu di tengah padang pasir yang gersang. Mereka yang berkelana hanya mahu berhenti tidur di rumah-rumah mabuk dan perempuan. Hanya si majnun yang mahu berhenti beristirehat di rumah puisi dan menogak air dari perahan buah anggur dari ladangnya.

(Dipetik dari buku kumpulan puisi saya bertajuk ‘Di pinggulmu Ada Bulan’ yang bakal diterbitkan oleh Sang Freud Press pada bulan April ini.)

Advertisements

Kerana Kesunyian

(Ini adalah fragmen dari akhir-kata yang saya sedang usahakan untuk buku puisi sulung saya yang bakal diterbitkan nanti pada masa-masa yang terdekat ini, jika diizinkan Tuhan.)

***

Seperti kata Borges, ‘Penyair itu tidak akan pernah merasa lelah (berkarya).’, Kerana apa? Kerana kesunyiannya. Dan kerana kesunyian itu, si penyair tak akan bisa menemukan masa rehat; walau dalam tidur sekalipun dia akan tetap menggumam sajak-sajaknya.

Dan menarik juga jika diambil dari pandangan Dr. Rahman Shaari yang mengusulkan teori kesunyiannya itu: Manusia bersengketa kerana kesunyian hidup. Dan penyair itu menulis dan bergelutan dengan usaha-usaha kepenyairannya itu juga adalah kerana kesunyiannya. Dan Rilke juga saya kira mempersetujui ini. Malahan tidak keterlaluan jika saya mengatakan di sini yang rata-rata penulis juga akan mempersetujui jika kita mengandaikan bahawa kesunyian itulah yang sebenarnya menjadi teras pada semua desakan untuk menulis. Bahkan ia juga adalah teras untuk menggerak aktiviti-aktiviti yang menghubung manusia sesama manusia, terutamanya aktiviti kreatif itu.

Mungkin, bagi seorang penyair, kesunyian itu adalah ‘the Will’, Muse-nya, atau pendorong bawah sedarnya yang — seperti alir sungai yang tak pernah lelah — sentiasa mengasak dan menarik jiwanya untuk terus menggenggam pena dan menyulam kata-katanya pada sekeping kertas kosong tanpa mengirakan konsekuensi mahupun ganjaran apa yang bakal diperoleh dan ditanggung olehnya di masa hadapan.

Dan bagi saya sendiri, kesunyian itu yang benarnya adalah ekstasi seorang penyair. Tanpanya, permainan imaginasi di dalam puisi itu bisa jadi keras dan mati.

 

[Sonet] Menulis Surat Cinta Di Kafe Borjouis

Aku menulis surat ini kerana mahu terus berbicara
tentang tajuk yang tak habis-habisnya antara kita;
tentang kerinduan, tentang kedambaan pada syurga,
— bersama seduhan air kopi yang tak lagi menguja
dan sepotong kek keju yang masih belum tercuit rongga
— cuba untuk menjelajah dengan menggalas kata-kata
menulis perenggan yang bergejalakan tekstual cinta
(biar orang sekeliling masing-masing mengukir arca
aku tetap berkeras untuk setia menggerak pena).
Malam masih sarat membenihkan bintang muda
dan penaku masih berat memikul beban rasa
(bukankah sekerap ini aku cemas di baris mula?)
Mungkin cara yang terbaik adalah dengan bertanya,
‘Aku rindu di sini, bagaimana denganmu di sana?’