Kolektif Kesepian

Baru-baru ini saya mengalami satu kejadian yang pelik. Saya bermimpi dan di dalamnya saya di’hidup’kan memakai jasad karakter seorang penyair tahun 70’an yang kurang dikenali ramai. Sosok penyair yang sangat obscure, sehinggakan saya sendiri gagal untuk mendapatkan maklumat tentangnya daripada penyair-penyair tahun 70’an yang masih hidup; sama ada mereka memang benar-benar tidak kenal ataupun ingatan mereka sudah hilang sepenuhnya, atau nyanyuk.

Seperti mimpi-mimpi yang lain, ada satu adegan, atau momen yang kebiasaannya menjadi sorotan utama sesebuah naratif mimpi yang kucar-kacir. Dan mimpi saya ini juga tidak terkecuali. Ada satu momen, mungkin disengajakan atau tidak, yang menjadi adegan utama daripada keseluruhan naratif mimpi saya tersebut: ‘Diri’ saya, di dalam momen mimpi tersebut, sedang mencatatkan sesuatu di dalam sebuah jurnal berwarna hitam, di dalam setting sebuah bilik kelam yang hanya diterangi oleh cahaya sebatang lilin. Memang ia seolah-olah sebuah adegan dari babak klasik filem autobiografi seorang penulis. Continue reading “Kolektif Kesepian”

Rosak (Malfunction)

Saya rasa komputer saya dah nak jahanam. Tapi saya tak rasa yang komputer itu sendiri yang sebenarnya bermasalah, cuma kibod dia saja yang dah rosak. Komputer ini saya beli yang dah terpakai, yang saya jumpa dalam iklan klasified tak lama dulu. Mamat yang jual komputer tersebut dekat saya memang kelihatan pelik sedikit. Dia sambut saya di pintu dengan memakai jubah sutera dan topi fedora, seperti gaya pelacur atasan dalam filem art hitam putih. Dia buatkan saya segelas teh dengan daun mint yang dia tanam dekat tepi tingkap. “Kau takkan menyesal beli komputer ni.” dia yakinkan saya. Jadi saya pun bagi dia lima ratus, dan sekarang ini saya menyesal. Iklan tersebut cakap dia orang nak jual semua barangan mereka sebab mereka nak pergi mengembara dalam masa yang lama, tapi mamat yang pakai topi fedora tersebut bagitahu saya perkara yang sebenar: bila-bila masa saja dia akan mati yang disebabkan wabak penyakit, tapi takkanlah kau nak iklankan macam itu, terutamanya bila kau nak suruh orang datang beli barang kau. “Kebenarannya,” dia bagitahu saya, “kematian ni macam satu pengembaraan yang panjang ke suatu tempat, jadi iklan tu bukanlah menipu.” Bila dia cakap macam itu, suara dia terketar-ketar, optimistik, meskipun seketika dia rasa kematian tu macam satu trip yang fun ke suatu tempat yang baru, dan bukannya kegelapan tak  guna yang sesakkan nafas kau. “Ni ada warranty ke?” tanya saya, dan mamat itu ketawa. Saya sebenarnya serius, tapi bila dia ketawa macam itu, saya rasa agak pelik sedikit jadi saya pun berpura-pura yang sebenarnya saya cuma bergurau saja.

(diterjemah oleh Ahmed Kamus dari kumpulan Cerita Pendek ‘The Nimrod Flipout’ karangan Etgar Keret)