Keterlupaan (I)

Ianya Bach. Violin Concerto in A minor. Ketika itu cuaca kelam dan daun-daun gugur mula menari balet menurut pusar angin di atas aspal.

Ianya satu soalan. Yang teleologikal, mungkin. Kau tidak faham, ketika pertama kali mendengar, tentang permulaan dan pengakhirannya.

Ianya satu dentuman. Yang sangat kuat. Dan ianya tak begitu penting, dan relevan, tentang di mana semua ini akan berakhir.

(Ianya sekadar berakhir, dengan begitu saja.)

Ianya tinggal sebagai satu soalan. Tentang apakah itu keterlupaan.

Manuskrip

Kawan rapat saya mati hari ini. Atau mungkin semalam. Tapi peliknya, saya tak rasa apa-apa kepedihan dan kesedihan langsung. Malahan saya berasa lega dan sangat selesa dengan berita kematian dia. Ini semua disebabkan oleh satu perkara dan hanya satu perkara sahaja: Sekarang saya rasa saya sudah bersedia, dengan kelapangan hati dan kejernihan akal, untuk menyiapkan manuskrip saya yang tergendala, kerana dia, kawan rapat saya itu, sudah tidak wujud lagi untuk menjadi penghalang di antara saya dan kebermungkinan kewujudan sebuah novel karangan saya sendiri.

Kolektif Kesepian

Baru-baru ini saya mengalami satu kejadian yang pelik. Saya bermimpi dan di dalamnya saya di’hidup’kan memakai jasad karakter seorang penyair tahun 70’an yang kurang dikenali ramai. Sosok penyair yang sangat obscure, sehinggakan saya sendiri gagal untuk mendapatkan maklumat tentangnya daripada penyair-penyair tahun 70’an yang masih hidup; sama ada mereka memang benar-benar tidak kenal ataupun ingatan mereka sudah hilang sepenuhnya, atau nyanyuk.

Seperti mimpi-mimpi yang lain, ada satu adegan, atau momen yang kebiasaannya menjadi sorotan utama sesebuah naratif mimpi yang kucar-kacir. Dan mimpi saya ini juga tidak terkecuali. Ada satu momen, mungkin disengajakan atau tidak, yang menjadi adegan utama daripada keseluruhan naratif mimpi saya tersebut: ‘Diri’ saya, di dalam momen mimpi tersebut, sedang mencatatkan sesuatu di dalam sebuah jurnal berwarna hitam, di dalam setting sebuah bilik kelam yang hanya diterangi oleh cahaya sebatang lilin. Memang ia seolah-olah sebuah adegan dari babak klasik filem autobiografi seorang penulis. Continue reading “Kolektif Kesepian”