Geng Pengintip [The Spies] oleh Luis Fernando Verissimo

the spies

Bab 7 (petikan)

“Mengintip itu menunggu.” Itu kata-kata John Le Carre. Kau posisikan ejen kau di tempatnya dan kemudian tunggu untuk melihat apa yang berlaku, menantikan reaksi daripada mereka yang dintip; menanti ejen mereka untuk muncul dan berharap supaya tidak berlaku perkara yang buruk. Sehingga Rabu, kami masih lagi tidak mendengar apa-apa berita daripada Dubin. Sepatutnya dia boleh saja menelefon saya di rumah atau di pejabat, tapi dia tak lakukannya. Ibu dia pun tak terima apa-apa berita langsung daripadanya, meskipun dia tidaklah kelihatan seperti risau sangat tentang perkara tersebut. Saya agak Dubin memang sudah biasa bermalam di luar selama beberapa hari dan tidak menelefon rumahnya langsung untuk memberitahu di mana dia berada. Saya singgah ke Bar do Espanhol selepas pulang daripada pejabat. Saya jenguk-jenguk di sekitar bar, tetapi tak nampak langsung bayang Profesor Fortuna. Saya perasan Tavinho duduk di sebuah meja bersama seorang lelaki bercukur licin serta berambut kemas sikat ke belakang, memakai blazer berwarna biru dengan butang keemasan. Saya cuma menyedari lelaki tersebut sebenarnya ialah Profesor apabila saya tiba di meja mereka—dia memang betul-betul berubah. Saya tak pernah nampak dia tanpa janggut lebat dan kot panjangnya yang berwarna kulit tikus basah itu. Dia menujuk pada sebuah bagasi di samping kerusinya dan berkata, “Dalam masa sejam lagi, aku akan bertolak ke Frondosa menaiki bas malam.”

“Profesor pasti ke?” Saya rasa bertanggungjawab untuk melindunginya. Saya tak pernah tahu tentang hidupnya di luar Bar do Espanhol ini. Saya tahu yang dia seorang posur, tapi cuma itu sahaja. Mungkin dia tak ada kehidupan langsung di luar bar ini. Mungkin ini ialah terjahan pertama dia ke dunia realiti. Dan sayalah yang bertanggungjawab.

“Aku memang dah sedia ni,” katanya.

“Nanti kejap. Kita kena selesaikan beberapa perkara dulu. Saya perlu bagi Profesor duit untuk—“

“Duit aku ada. Tiket pun aku dah beli.”

Betulkah Profesor ini seorang jutawan yang pelik? Saya tak pernah tahu langsung tentang dirinya.

“Bagaimana pula dengan legenda kamu?” tanya Tavinho yang memang gemar menggunakan jargon. “Profesor pergi sana sebagai siapa nanti?”

“Sebagai ahli falsafah, yang sedang berkelana mencari erti kebenaran.”

“Dan kenapa pula Prof nak mencari kebenaran di Frondosa?”

Dia tak jawab langsung pertanyaan saya dan berkata, “Kalau Dubin telefon, suruh dia balik sini, beritahu dia yang kerja-kerja yang serius akan bakal bermula. Ini kerja untuk orang-orang yang berpengalaman.” Dia dah bersiap sedia mahu beredar bilamana saya terfikir nak tanyakan padanya:

“Kalau ada apa-apa yang berlaku pada Prof, siapa yang saya patut hubungi?”

“Benda apalah yang boleh berlaku pada aku ni?” Dan waktu dia sudahpun separuh jalan ke pintu depan untuk keluar, dia menyambung, “Bukan ke semua ni cuma fiksyen je?”

*terjemahan oleh Hadi Ja’afar

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s