The Virgin Eater oleh Yusof Abrak [petikan draf]

Dia melihat manusia yang sudah tidak peduli. Apa kegilaan dan kekacauan yang beruntai-untai di dinding-dinding maya media sosial, dia tidak pernah menemukan sekelumit pun jawapan. Apakah keperluan ini? bentaknya berkali-kali di dalam hati. Kebencian, kebingungan, dendam dan perseteruan antara jiwa-jiwa yang terapung di atas garisan kabur yang memisahkan hitam dan putih. Kerana itu mereka harus membayar. Dengan darah. Darah di serata sudut. Cerai-berai daging-daging manusia yang masih segar merekap di setiap permukaan rata di dalam ruang yang hanyir ini…

1.
Dentingan muzik daripada Dante Sonata gubahan Liszt yang termain pada sebuah kotak muzik usang berkali-kali mengetuk gegendang telinganya. Rentak dan irama. Itu saja yang menjadi pengatur setiap gerak tubuh dan fikirnya. Kertas-kertas putih bersaiz A4 yang sudah tertulis berserakan di atas lantai. Apakah pengakhirannya, cerita ini? Dia tidak akan tahu selagi penanya belum mahu menemukan bab yang terakhir itu. Dia akan terus menulis. Dan manusia akan terus tidak memperdulikan. Tetapi dia harus terus peduli. Kepada manusia, kepada dunia, kepada kehidupan, kepada dirinya. Dengan sedikit pengorbanan pastinya. Tanpa pengorbanan, tidak adalah matlamat terakhir yang mahu dikejar. Walau apapun matlamat akhir tersebut. Untuk Tuhan? Untuk Kemanusiaan? Untuk Keindividuan? Untuk apapun, mesti ada yang dikorban, yang terkorban. Rela atau tak merelakan. Terpaksa atau dipaksakan. Selama beribu-ribu tahun, kemanusiaan itu terus terkehadapan kerana adanya pengorbanan. Tak ada pengorbanan, tak ada apa yang dinamakan progres.

Di dalam bab yang terakhir, dia bertemu dengan Socrates yang meminum daripada sebekas racun di suatu subuh. Pada malam sebelumnya, Crito, salah seorang sahabat yang mencintainya, memujuk Socrates untuk lari daripada tahanan dan sekaligus menyelamatkan nyawanya. Tapi Socrates enggan. Kenapa? Kerana manusia yang mengerti apa itu adil tidak akan melanggar undang-undang yang telah mengikat subjeknya di bawah satu payung perlembagaan demokrasi. Kerana undang-undang harus dituruti seperti seorang anak yang harus menturuti perintah orang tuanya. Socrates mengerti apa itu adil. Dan undang-undang yang dijunjungnya di dalam bakul keadilannya itu. Walaupun undang-undang itu bakal menuangkan sebekas racun ke tenggorokannya? Walaupun undang-undang itu terbangun daripada kolum-kolum yang terbit daripada ketakadilan, ketakrasionalan, kekorupan dan kebodohan penggubalnya? Apakah manusia sebijak Socrates boleh jadi begitu naif? Seseorang itu tidak seharusnya membalas ketidakadilan dengan ketidakadilan, itu tegas Socrates kepada Crito persis seorang nabi yang diutuskan. Ya, dia yang mengutus Socrates. Dia yang mempengaruhi Socrates. Socrates ialah pesuruhnya yang naif. Tak ada siapa yang menyangka bahawa dialah orangnya yang menggalakkan Socrates untuk mencari kebenaran—kalaulah itu benar-benar mempunyai maksud, dan ya, apa yang ditulis Nietzsche itu memang benar—meng’korup’kan para pemuda di Athens? Itu kerja dia. Meletus duduk di bawah telunjuknya. Untuk mengkehadapankan kemanusiaan, Socrates harus dikorbankan. Itupun sebelum dia yakin tentang kemampuan Plato sebagai penyambung lidah gurunya. Republik ialah ideanya. Bagaimana di suatu malam yang dingin di Athens, ketika duduk meminum khamar di beranda rumah Crito, dia mengingatkan kepada pemuda yang sedang berduka itu tentang bagaimana dengan kata-kata dan fiksyen, ajaran Socrates dapat diabadikan untuk tatapan kaum manusia yang bakal datang di kemudian hari. Yang dia berupaya untuk mencipta sebuah lagenda gurunya yang mengambil bentuk di dalam sebuah karakter fiksyen. Atau dialog. Dia tak pasti tentang bentuk dialog tersebut. Itu mungkin hasil perahan kreativiti dan imaginasi si Plato sendiri. Yang dia pasti, tanpa saranan dan galakan kepada Plato waktu itu, maka tidak adalah gagasan falsafah yang setanding kitab Republik. Semuanya demi kemajuan. Progres.

Dante Sonata masih lagi termain di latar. Bau hanyir darah dan daging manusia yang semakin memekat dan menusuk. Dia bangun dari tempat duduknya menuju ke arah pintu gelungsur kaca yang membawanya ke arah balkoni kecil bilik ini. Balkoni yang hanya boleh memuatkan hanya dua tubuh manusia yang sederhana. Tapi selain dia, tidak ada batang tubuh yang lain pernah berdiri bersamanya di balkoni ini. Melainkan bayang-bayang dirinya sendiri yang selalu muncul daripada bawah sinar bulan yang kelabu. Dia dan bayang-bayang dirinya merupakan makhluk malam yang dingin. Itulah dirinya. Makhluk yang dingin. Darahnya berwarna biru seperti bendalir yang mendinginkan kepanasan enjin kereta. Itulah erti keberadaannya. Untuk menjadi pendingin kepada kepanasan neraka dunia yang dicipta manusiawi. Dia dan kata-katanya. Meskipun itu harus dibayar dengan darah dan daging manusia. Tak ada pengorbanan, maka tak adalah progres. Dan malam ini merupakan malam untuk menuntut pengorbanan tersebut. Seorang, atau, dua orang sebenarnya, gadis muda yang montok, yang muda, yang manis, dan ya, yang paling penting korbanan itu harus berstatus dara. Tak kiralah bangsanya apa. Warna kulitnya tak menjadi persoalan utama. Janji korbanannya itu ialah seorang dara yang montok, yang muda, yang manis.
Meminum darah perawan memberinya tenaga dan keremajaan yang diperlukan untuk menghabiskan satu-satu bab di dalam novelnya. Meratah daging seorang dara menyalurkan sel-sel baru yang akan menukar gantikan sel-sel lama yang sudah mereput dan kaput. Ini ialah rahsia keabadiannya sejak dia diwujudkan? beribu-ribu tahun yang lampau.

Dia, lelaki yang membawa progres. Dengan sedikit pengorbanan, kemanusiaan pun terkehadapan. Dia, lelaki yang mengajarkan erti kemajuan dan ketamadunan. Yang mengajarkan manusia kebudayaan, kesenian, dan kesusasteraan. Yang menjentikkan idea ke dalam fikir filsuf. Yang menggalakkan peperangan, pendamaian, peperangan, pendamaian dan sehingga akhirnya. Dengan sedikit pengorbanan. Dia telah bersama Qabil. Dia telah bersama Nostradamus, memberi ilham kepadanya tentang masa hadapan yang kemudiannya memberi inspirasi kepada beliau untuk menulis ramalan-ramalannya. Dia telah bersama Socrates, Plato dan Aristotle. Dan dia juga duduk di meja perundingan panglima Yunani bersama-sama Alexandre the Great merancang penaklukan wilayah Mesir. Dia telah duduk minum teh di suatu petang bersama Kant di sebuah kafe di kota Konigsberg sambil mendengar nyanyian sayu wanita yahudi di satu sudut bertentangan dengan kafe tersebut. Dan sebelum itu, di bawah lindungan rimbunan daun-daun pokok rendang di Paris pada tahun 1753 bersantai bersama Rousseau dan Diderot, berdiskusi tentang muzik dan politik. Dia hanya tergelak sinis mendengar pujian melambong manusia terhadap kegeniusan Rousseau. Dan jika bukan dia yang mencetuskan imaginasi tentang bagaimana tercetusnya masyarakat sivil yang pertama di dalam kepala si Rousseau, maka tidak adalah wacana yang kedua. Dan tidak terbitlah wacana berikutnya yang bertajuk Social Contract itu.

Dia harus lihat wajah bangganya sendiri di cermin ketika bagaimana benih-benih idea yang ditanam ribuan tahun dahulu semakin lekas membesar dan merebak pula ke seluruh daratan bumi. Bagaimana sebuah idea yang meyakinkan, dengan bantuan logika akal dan kerasionalan penaakulan, menjangkiti dan menjalar bergabung dengan buah-buah idea yang tergalak langsung mengevolusikan sebuah idea tentang masa hadapan kemanusiaan. Kini dia sedang berdiri di atas binaan visi yang telah direncanakan lebih ribuan tahun yang lampau. Binaan yang sedang menunggu masa-masa keruntuhannya. Namun dia tidak akan berbuat apa-apa. Dia akan menanti dengan penuh debaran masa-masa yang dijanjikan itu. Dia mahu melihat kemanusiaan ikut runtuh bersama binaan ini. Kemajuan yang mereka gelar-gelarkan. Yang mereka dada-dadakan. Retak menanti belah, kalau mahu meminjam peribahasa bangsa Melayu yang sudahpun terpudar itu.

Dan dia mahu melihat semua itu sambil menyiapkan manuskrip novelnya yang terbaru.Sebuah novel yang bakal menjanjikan harapan baru kepada kemanusiaan. Dan untuk itu, dia harus dijamukan dengan korbanan yang rupawan, yang manis dan yang paling penting sekali mestilah seorang dara. Malam ini dia telah dihidangkan dengan, bukan satu, malahan dua tubuh korbanan oleh anjing politikal itu. Dua gadis perawan berbangsa melayu. Sebelum ini, dia belum pernah lagi menjamah darah dan daging segar milik perawan melayu. Selama ribuan tahun menjelajah benua eropah, dia harus mengakui yang dia sebenarnya sudah muak dan bosan dengan darah dan daging perawan Eropah. Yang berambut hitam, berambut perang, berambut putih semuanya sudah habis dijelajah dan diratah tubuhnya. Meskipun dia kadangkala mengingatkan ketua pedagang untuk tidak menghidangkannya dengan perawan-perawan berbangsa yahudi. Mahupun dari kalangan gelandangan, atau wanita-wanita gipsi, atau Romani. Bukanlah dia itu seorang yang rasis atau anti-semitik, cuma untuk minum daripada tubuh jiwa-jiwa yang terbuang, adalah sangat menyiksakan setiap alir urat dan nadinya. Mungkin itu satu sumpahan dari penciptanya. Atau dia memang semulajadinya alergi dengan darah dan daging dari bangsa-bangsa tersebut.

Berbalik kepada wanita Eropah. Atau secara khususnya, perawan-perawan berbangsa Aryan. Yang berkuntum daripada jalur Indo-Eropah yang ulung. Tak dapat dinafikan, pertama kali meratahi tubuh-tubuh segar itu, dia tidak dapat lari daripada membuat kesimpulan tentang bagaimana bangsa Aryan itu merupakan satu bangsa yang paling unggul pernah diciptakan Tuhan. Sayangnya, perasaan itu tak kekal lama. Lama-kelamaan kanta keistimewaan pun tersingkap dan sekadar dia melihat mereka tak ada bezanya dengan umat manusia yang lain. Beberapa ratus tahun yang pertama mungkin dia masih lagi terasuk dan terpesona dengan keindahan dan keharuman darah dan tubuh-tubuh mulus mereka. Malahan beberapa ratus tahun kebelakangan ini, ada juga dia mensyaratkan kepada pendagang untuk membawa perawan-perawan dari Afrika misalnya, atau yang datang daripada tanah Arab. Namun belum pernah lagi ada yang menawarkan perawan-perawan yang datang dari benua Asia, apatah lagi yang didatangkan dari tanah Melayu.

Meskipun tidak secara terusnya, jika dia membongkar kembali semua almari berhabuk yang tersimpan memori-memori lampaunya, mungkin dia akan berupaya mengingat kembali peristiwa yang berlaku di antara dia dan penguasa Majapahit yang bergelar Sri Girisawarddhana pada sekitar tahun 1458.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s