Yang Mengintip (petikan draf)

iii.

Pertama kali saya bertemu dengan lelaki itu ialah ketika saya pergi membeli belah barang-barang dapur di pasaraya Tesco di Kajang. Ada sesuatu yang menarik minat saya terhadap persona lelaki asing ini yang ketika itu sedang tekun memilih daripada beberapa buku roti gandum serat yang tersusun pada rak roti di seksyen bakeri. Dia nampak begitu teratur dan tersusun. Dan ini sebenarnya amat menjengkelkan saya. Segala-galanya tentang lelaki ini kelihatan seperti sesuatu yang telah dirancang dan diaturcarakan. Dari pergerakan fizikalnya, mimik wajahnya, kemasan pakaiannya, lirikan matanya, sentuhan jemarinya, bolak-balik tangannya yang menghayun secara konstan dari kiri ke kanan seolah-olah dia seperti seketul mesin yang telah terlebih dahulu diprogramkan jurutera untuk melakukan kerja-kerja kehidupannya. Ya, sangat menjengkelkan! Jiwa manakah yang mempunyai ketahanan dan kesabaran terhadap kerigidan sebegitu? fikir saya ketika itu sambil separa sedarnya membelek kandungan nutrisi pada label sebuah botol minuman kultur berperisa strawberi. Tetapi ada sesuatu yang seakan-akan sedang menarik perlahan-lahan minat saya untuk mengetahui lebih lanjut tentang manusia yang serba teratur ini. Mungkin disebabkan kami sebenarnya berada pada dua sisi magnet yang berlainan. Saya di sisi yang negatif dan dia di sisi yang positif. Atau sebaliknya. Itu tak penting sebenarnya, kerana apa yang pasti sejak pada hari itu saya sudah memasang tekad untuk menjadi mata-mata pada kehidupan seorang lelaki asing; dia yang aneh, kekok, mekanikal dan yang sangat menjengkelkan itu. Dan saya ambil keputusan tersebut ketika saya menunggu giliran ayam segar saya untuk dipotong enam belas oleh si pemotong ayam berbangsa nepal.

The Virgin Eater oleh Yusof Abrak [petikan draf]

Dia melihat manusia yang sudah tidak peduli. Apa kegilaan dan kekacauan yang beruntai-untai di dinding-dinding maya media sosial, dia tidak pernah menemukan sekelumit pun jawapan. Apakah keperluan ini? bentaknya berkali-kali di dalam hati. Kebencian, kebingungan, dendam dan perseteruan antara jiwa-jiwa yang terapung di atas garisan kabur yang memisahkan hitam dan putih. Kerana itu mereka harus membayar. Dengan darah. Darah di serata sudut. Cerai-berai daging-daging manusia yang masih segar merekap di setiap permukaan rata di dalam ruang yang hanyir ini…

1.
Dentingan muzik daripada Dante Sonata gubahan Liszt yang termain pada sebuah kotak muzik usang berkali-kali mengetuk gegendang telinganya. Rentak dan irama. Itu saja yang menjadi pengatur setiap gerak tubuh dan fikirnya. Kertas-kertas putih bersaiz A4 yang sudah tertulis berserakan di atas lantai. Apakah pengakhirannya, cerita ini? Dia tidak akan tahu selagi penanya belum mahu menemukan bab yang terakhir itu. Dia akan terus menulis. Dan manusia akan terus tidak memperdulikan. Tetapi dia harus terus peduli. Kepada manusia, kepada dunia, kepada kehidupan, kepada dirinya. Dengan sedikit pengorbanan pastinya. Tanpa pengorbanan, tidak adalah matlamat terakhir yang mahu dikejar. Walau apapun matlamat akhir tersebut. Untuk Tuhan? Untuk Kemanusiaan? Untuk Keindividuan? Untuk apapun, mesti ada yang dikorban, yang terkorban. Rela atau tak merelakan. Terpaksa atau dipaksakan. Selama beribu-ribu tahun, kemanusiaan itu terus terkehadapan kerana adanya pengorbanan. Tak ada pengorbanan, tak ada apa yang dinamakan progres.

Di dalam bab yang terakhir, dia bertemu dengan Socrates yang meminum daripada sebekas racun di suatu subuh. Pada malam sebelumnya, Crito, salah seorang sahabat yang mencintainya, memujuk Socrates untuk lari daripada tahanan dan sekaligus menyelamatkan nyawanya. Tapi Socrates enggan. Kenapa? Kerana manusia yang mengerti apa itu adil tidak akan melanggar undang-undang yang telah mengikat subjeknya di bawah satu payung perlembagaan demokrasi. Kerana undang-undang harus dituruti seperti seorang anak yang harus menturuti perintah orang tuanya. Socrates mengerti apa itu adil. Dan undang-undang yang dijunjungnya di dalam bakul keadilannya itu. Walaupun undang-undang itu bakal menuangkan sebekas racun ke tenggorokannya? Walaupun undang-undang itu terbangun daripada kolum-kolum yang terbit daripada ketakadilan, ketakrasionalan, kekorupan dan kebodohan penggubalnya? Apakah manusia sebijak Socrates boleh jadi begitu naif? Seseorang itu tidak seharusnya membalas ketidakadilan dengan ketidakadilan, itu tegas Socrates kepada Crito persis seorang nabi yang diutuskan. Ya, dia yang mengutus Socrates. Dia yang mempengaruhi Socrates. Socrates ialah pesuruhnya yang naif. Tak ada siapa yang menyangka bahawa dialah orangnya yang menggalakkan Socrates untuk mencari kebenaran—kalaulah itu benar-benar mempunyai maksud, dan ya, apa yang ditulis Nietzsche itu memang benar—meng’korup’kan para pemuda di Athens? Itu kerja dia. Meletus duduk di bawah telunjuknya. Untuk mengkehadapankan kemanusiaan, Socrates harus dikorbankan. Itupun sebelum dia yakin tentang kemampuan Plato sebagai penyambung lidah gurunya. Republik ialah ideanya. Bagaimana di suatu malam yang dingin di Athens, ketika duduk meminum khamar di beranda rumah Crito, dia mengingatkan kepada pemuda yang sedang berduka itu tentang bagaimana dengan kata-kata dan fiksyen, ajaran Socrates dapat diabadikan untuk tatapan kaum manusia yang bakal datang di kemudian hari. Yang dia berupaya untuk mencipta sebuah lagenda gurunya yang mengambil bentuk di dalam sebuah karakter fiksyen. Atau dialog. Dia tak pasti tentang bentuk dialog tersebut. Itu mungkin hasil perahan kreativiti dan imaginasi si Plato sendiri. Yang dia pasti, tanpa saranan dan galakan kepada Plato waktu itu, maka tidak adalah gagasan falsafah yang setanding kitab Republik. Semuanya demi kemajuan. Progres. Continue reading “The Virgin Eater oleh Yusof Abrak [petikan draf]”

Invasi Desperado

UNTUK MENULIS NOVEL DARIPADA SEBUAH NOVEL YANG MENCERITAKAN TENTANG SEBUAH NOVEL YANG TAK PERNAH HABIS.

I.

Ia memang selalunya tentang sebuah novel yang pernah kau baca beberapa bulan yang lepas. Novel yang kau peroleh daripada bin jualan murah di sebuah rangkaian pasaraya terkenal yang terletak berhampiran dengan rumah ibu kau di Hulu Klang. Awal-awal bila kau mula ambil novel tersebut dari celah-celah timbunan buku-buku yang berserakan di dalam bin, kau dapat rasakan yang naratif fiksyen yang kau akan baca kelak daripada novel ini pasti tak akan mengecewakan kau nanti. Salah satu sebabnya ialah kerana nama pengarangnya. Benjamin Prado. Bunyi nama yang apabila pertama kali kedengaran di telinga persis nama-nama pengarang yang berasal daripada salah satu negara berbahasa latin, atau sepanyol. (Dan selalunya, jika berdasarkan pengalaman lalu kau sendiri dan juga daripada ulasan kawan-kawan bibliofil kau yang lain, novel dan koleksi cerpen daripada pengarang-pengarang yang berasal daripada negara berbahasa latin atau sepanyol ini tidak pernah mengecewakan; cuma hanya segelintir sahaja yang kadang-kadang tidak mencapai piawaian penceritaan yang menarik) Yang mana ianya memang tepat. Benjamin Prado merupakan seorang penulis dan penyair yang berasal daripada Madrid, Sepanyol. Dan mengikut catatan biografi ringkas tentang pengarang yang tertulis pada lebihan kulit di belakang novel tersebut, Benjamin Prado, sebelum menerbitkan novel yang kini berada di salah satu para rak buku kau itu, pernah menghasilkan beberapa buah jilid puisi dan siri novel, termasuk (ini senarai yang cuma disalin semula daripada catatan biografi tersebut) Raro (1995), Donde Crees Que Vas Y Quein Te Crees Que Eres (1996), Nunca Le Des Mano A Un Pistolero Zurdo/Never Shake Hands With A Left-Handed Gunmen (1996), Alguien Se Acerca (1998), dan No Solo El Fuego/Not Only Fire (1999) yang pernah memenangi anugerah prestij Premio Andalucia De Novela di Sepanyol. Dan pada tahun 2002, Faber & Faber (selepas ini hanya F&F), sebuah rumah penerbitan di United Kingdom, menerbitkan novel tersebut di dalam bahasa inggeris. Dan ini akhirnya membawa kepada usaha F&F membawa masuk pula novel beliau yang seterusnya ke dunia khalayak berbahasa inggeris, juga novel yang menjadi subjek cerita ini, iaitu yang bertajuk La Nieve Esta Vacia, ataupun di dalam bahasa inggerisnya diterjemahkan sebagai, Snow Is Silent. Mengikut fakta yang tercatat pada mukasurat hakcipta, novel ini ditulis oleh Benjamin Prado pada tahun 2000, iaitu setahun selepas beliau menghasilkan novel yang memperkenalkan beliau kepada dunia khalayak berbahasa inggeris, Not Only Fire. Meskipun begitu, tidak sehingga tahun 2005 barulah novel tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris oleh Sam Richard dan dipasarkan oleh F&F di UK, dan seterusnya ke serata pelusuk benua termasuklah benua Asia Tenggara yang termasuk juga di dalamnya Malaysia dan akhirnya tiba di tangan pengedar buku yang memasarkannya pada setiap kedai-kedai buku berangkaian yang terdapat di ibu negara sebelum dibuka kotak bungkusannya dan kemudiannya disusun pada para rak-rak jualan oleh staf-staf separuh masa sebelum selang setahun selepas itu beberapa baki daripada stok yang tertinggal dicampakkan pada bin bin jualan murah dengan potongan harga hampir mencapai 75 peratus bagi memberi ruang buat stok-stok novel terbaru daripada pasaran untuk mengambil alih tempatnya pada rak jualan tersebut (Ianya memang sebuah pengakhiran yang menyedihkan buat sebuah novel yang baik bila kau fikir-fikirkan seketika.) Tapi itulah kenyataannya dan nah! sebuah buku yang baik dengan potongan harga yang menggiurkan nafsu para bibliofil pun berhasil jatuh ke pemilikan kau disebabkan kitaran ganas dunia penerbitan buku seantero dunia. Tidak ada sebarang rungutan atau keluhan. Ianya situasi yang win-win buat semua pihak pada fikiran kau, bahkan untuk novel yang dipinggirkan itu sendiri kerana di akhirannya, ia akhirnya berhasil untuk duduk sama tinggi dan sama rendah dengan buku-buku pemilikan tuan barunya yang legit. Bukankah itu merupakan pengakhiran yang ideal untuk sebuah buku yang ditulis dengan baik?

Dan dengan Benjamin Prado, dikukuhkan dengan bibliografi beliau yang agak meyakinkan serta nama penerbit itu sendiri, Faber & Faber, yang merupakan sebuah penerbitan yang mempunyai reputasi menerbitkan novel-novel yang berkualiti, kau tak rasa pilihan yang kau buat untuk melaburkan duit sejumlah RM 10 (yang mana ianya bukanlah satu jumlah yang banyak mana pun) untuk sebuah novel daripada pengarang yang kau mahupun kawan-kawan bibliofil kau tidak pernah bincang atau ulas karya-karyanya adalah sesuatu yang akan menerbitkan kekesalan di dalam hati kau di kemudian harinya.