Tragedi Garis Masa (iii)

‘Twit, twit, twit’
orang-orang bercicipan,
‘Ada bangkai bergelimpangan!’
‘Mari-mari kita makan!’

Advertisements

Kerana Kesunyian

(Ini adalah fragmen dari akhir-kata yang saya sedang usahakan untuk buku puisi sulung saya yang bakal diterbitkan nanti pada masa-masa yang terdekat ini, jika diizinkan Tuhan.)

***

Seperti kata Borges, ‘Penyair itu tidak akan pernah merasa lelah (berkarya).’, Kerana apa? Kerana kesunyiannya. Dan kerana kesunyian itu, si penyair tak akan bisa menemukan masa rehat; walau dalam tidur sekalipun dia akan tetap menggumam sajak-sajaknya.

Dan menarik juga jika diambil dari pandangan Dr. Rahman Shaari yang mengusulkan teori kesunyiannya itu: Manusia bersengketa kerana kesunyian hidup. Dan penyair itu menulis dan bergelutan dengan usaha-usaha kepenyairannya itu juga adalah kerana kesunyiannya. Dan Rilke juga saya kira mempersetujui ini. Malahan tidak keterlaluan jika saya mengatakan di sini yang rata-rata penulis juga akan mempersetujui jika kita mengandaikan bahawa kesunyian itulah yang sebenarnya menjadi teras pada semua desakan untuk menulis. Bahkan ia juga adalah teras untuk menggerak aktiviti-aktiviti yang menghubung manusia sesama manusia, terutamanya aktiviti kreatif itu.

Mungkin, bagi seorang penyair, kesunyian itu adalah ‘the Will’, Muse-nya, atau pendorong bawah sedarnya yang — seperti alir sungai yang tak pernah lelah — sentiasa mengasak dan menarik jiwanya untuk terus menggenggam pena dan menyulam kata-katanya pada sekeping kertas kosong tanpa mengirakan konsekuensi mahupun ganjaran apa yang bakal diperoleh dan ditanggung olehnya di masa hadapan.

Dan bagi saya sendiri, kesunyian itu yang benarnya adalah ekstasi seorang penyair. Tanpanya, permainan imaginasi di dalam puisi itu bisa jadi keras dan mati.

 

[Sonet] Menulis Surat Cinta Di Kafe Borjouis

Aku menulis surat ini kerana mahu terus berbicara
tentang tajuk yang tak habis-habisnya antara kita;
tentang kerinduan, tentang kedambaan pada syurga,
— bersama seduhan air kopi yang tak lagi menguja
dan sepotong kek keju yang masih belum tercuit rongga
— cuba untuk menjelajah dengan menggalas kata-kata
menulis perenggan yang bergejalakan tekstual cinta
(biar orang sekeliling masing-masing mengukir arca
aku tetap berkeras untuk setia menggerak pena).
Malam masih sarat membenihkan bintang muda
dan penaku masih berat memikul beban rasa
(bukankah sekerap ini aku cemas di baris mula?)
Mungkin cara yang terbaik adalah dengan bertanya,
‘Aku rindu di sini, bagaimana denganmu di sana?’

Yang Tak Terkongsikan

Di rumah ini, bilang temanku itu, aku boleh berkongsi apa saja dari pemilikannya: Wajahnya, matanya, dadanya, punggungnya, tangan kakinya, pakaian dan sepatunya, rokoknya, keretanya, teman wanitanya, bahkan alat sulitnya itu sekalipun jika aku mahu. Namun, bilangnya kemudian, ada satu yang tak mungkin akan terkongsikan di antara kami:

Sebentuk bayangnya dalam cermin muka.

Dari Kota Sepi (Memo No. II)

Mil,

Aku suka melihat tumbuhan yang hidup di bukitan kota. Di sana ada pokok-pokok yang tumbuh menjelirkan daun-daun cerita, yang boleh kau bebas petik dan digubah menjadi bait-bait syair.

Aku suka menyaksi langit malam yang kelabu salju; di sana pasti ada sekumpulan bidadari, tekun menggulungi awan-awan untuk hiasan esok hari.

Aku suka membaca lukis-lukis di dinding-dinding maya; anak-anak kecil melukiskan keriangan, pemuda-pemuda melukiskan resah, gadis-gadis melukiskan angan;

Ya Mil, ku tahu duniaku masih seperti dulu.

Meditasi Kesunyian Di Suatu Disember (fragmen No. 4)

***

O taumelbunte Welt,
Wie machst du satt,
Wie machst du satt und müd,
Wie machst du trunken!

Kemenangan. Perasaan jernih yang selalu mengelubungi hati-hati manusia terasing tatkala tersedar di awal pagi yang sangat sunyi dan hening. Setelah hari semalam yang melukakan mula beransur lolos seketika dari pegangan memori yang tidak pernah setia pada kesakitan.

Kabut tebal semalam pun mulai menipis dan beredar pelan-pelan dari halaman hari menyerlahkan sejuta kebermungkinan doa-doa yang mahu diciptakan jiwa-jiwa yang pilu dan sepi.

Alam yang mula bangkit dari lenanya di dalam kekelaman dan kedinginan dini merembeskan benih-benih yang mahu bertunas kepada warna kehidupan; ya, hidup, walau selalu menyakiti dan melukakan, masih lagi sesuatu yang sangat indah rupanya. Begitu hati menyakini dan memperakui. Begitulah.

Lalu di satu dataran hijau yang lapang di kaki bukit itu kita pun menantikan kemunculan sebuah kemenangan, seperti anak kecil yang menanti bermulanya pesta bunga api yang meriah; dan ya, kemenangan itu seperti satu rentetan letupan bunga api yang memercikkan ribuan kekelopak warna-warni yang menyala, saling menguntumkan bunga-bunga krisantemum yang menerangi kehitaman di taman langit malam.

Dan adakah ini berbaloi? Tanya manusia yang skeptikal itu. Seperti lagenda mitos Sisyphus, kita tak punya sebarang jawaban kepada pertanyaan tersebut, melainkan sebuah pernyataan yang luarbiasa bahawa hidup yang ditakdirkan untuk terus menerus menunda kekalahan adalah hidup yang harus diraikan sebagai kemenangan.

***

[Jan, 2015]