Manusia yang Bertindak dan Ekonomi (bhg ii)

syarahan Ludwig von Mises (1951)

terjemahan Hadi Jaafar

(sambungan dari bahagian pertama)

Aristotle menulis, di antara perkara-perkara yang lainnya, tentang kepelbagaian pencirian pada lelaki dan wanita. Betapa beliau seringkali tersilap. Sekiranya beliau bertanyakan pada Puan Aristotle tentang perihal wanita, pastinya beliau akan menyedari kesilapannya; langsung memahami perkara tersebut pada sudut pandang yang berbeza. Aristotle juga tersilap di dalam menyatakan bahawa jika dua barang mahu ditukarkan di dalam pasaran, harus keduanya ada sesuatu yang serupa di dalamnya, bahawa keduanya ditukar di sebabkan nilainya yang setara. Sekarang fikirkan, sekiranya keduanya adalah setara, apa perlunya proses pertukaran tersebut? Jika kamu memiliki satu syiling dan saya memiliki satu syiling, kita tidak akan menukarnya disebabkan keduanya adalah setara. Oleh yang demikian, sekiranya terdapat pertukaran, seharusnya yang terkandung pada barangan yang ditukar tersebut adalah ketaksetaraan, bukannya kesetaraan.

Karl Marx [1818-1883] mendasarkan teori nilainya pada falasi ini.1 Lama setelah Marx, Henri Bergson [1859-1941], di dalam buku yang sangat disanjung, yang membicarakan tentang dua sumber moral dan agama,2 telah menerima-pakai falasi yang sama—jika dua benda itu ditukar di dalam pasaran keduanya pada satu sudut mestilah setara nilainya. Akan tetapi barangan yang “setara” tidak boleh ditukar; pertukaran hanya berlaku disebabkan ketaksetaraan pada nilaian barangan. Kamu bersusah payah untuk pergi ke pasar kerana kamu menilai sebuku roti lebih tinggi daripada wang yang kamu lepaskan untuknya. Manusia terlibat di dalam pertukaran disebabkan pada masa tersebut mereka memilih untuk memperoleh sesuatu yang selain dari wang. Satu-satu pertukaran tidak akan berlaku dengan niat untuk mendapat rugi. Manusia yang bertindak bukanlah seorang yang pesimistik disebabkan tindak-tanduknya terdorong oleh idea bahawa kondisinya dapat diperbaiki (dengan terlibat di dalam proses pertukaran tersebut-penterjemah).

Matlamat bagi satu-satu tindakan ialah untuk menukarganti satu keadaan hal ehwal yang lebih bersesuaian bagi individu yang terbabit daripada keadaan sebelumnya. Nilai pada sebarang perubahan di dalam situasi mereka itu dipanggil “perolehan”3 sekiranya ianya positif, “kerugian” sekiranya ianya negatif. Nilai ini adalah semata bersifat psikik4, ianya tidak dapat diukur. Kamu hanya dapat menyatakannya sama ada ianya lebih ataupun kurang. Ianya dapat diukur hanya selagi ia sebagai barangan yang ditukar di dalam pasaran dengan wang. Selagimana ini adalah berkenaan dengan tindakan itu sendiri, maka ia tidak memiliki apa-apa nilaian matematikal.

Tetapi, kamu akan berkata, ini bertentangan dengan pengalaman sehari-hari kita. Benar, kerana persekitaran sosial kita membenarkan proses kalkulasi itu terjadi selagimana barangan ditukar melalui penggunaan medium pertukaran yang diterimapakai semua, wang. Apabila barangan itu ditukar dengan wang, ia membenarkan penggunaan terma kewangan untuk kalkulasi ekonomi, hanya apabila tiga syarat yang berikut ini dipenuhi:

  1. Harus wujudnya hak pemilikan persendirian, bukan saja bagi barangan, namun juga bagi sarana pengeluaran;
  2. Harus wujud pengkhususan tenaga kerja dan, dengan itu, pengeluaran bagi keperluan yang lain-lain;
  3. Harus wujud juga pertukaran tak langsung di dalam terma penyebut sepunya.

Oleh yang demikian, setelah tiga syarat ini dipenuhi lalu satu-satu nilaian matematikal seharusnya akan dibangunkan, kendatipun tidaklah secara tepat. Ukuruan-ukuran ini tidak dikatakan tepat disebabkan ianya hanya berurusan dengan apa yang berlaku semalam, adalah sifatnya sejarah. Penyata kewangan perniagaan mungkin kelihatan tepat, akan tetapi, nilai wang pada inventori yang dimasukkan pada “bilangan dolar yang besar”  merupakan spekulatif nilai masa hadapan yang dijangkakan (oleh niagawan); nilaian yang dikreditkan pada peralatan dan lain-lain aset juga merupakan spekulatif. Masalah sebenar inflasi ialah ianya mengfalsifikasi kalkulasi-kalkulasi sebegini dan memberi akibat permasalahan yang tragik.

Kalkulasi kewangan tidak semestinya wujud di dalam semua jenis organisasi atau masyarakat. Ianya tidak wujud waktu ekonomi itu bermula. Manusia yang terawal (juga) bertindak; manusia memang sentiasanya bertindak; namun ianya mengambil masa selama ribuan tahun sebelum evolusi pengkhususan kerja dan aparatus kewangan membolehkan operasi kalkulasi kewangan dijalankan. Kalkulasi kewangan dibangunkan secara berperingkat di sepanjang Zaman Pertengahan. Pada awal peringkat pembangunannya, ianya kekurangan banyak ciri-ciri yang pada masa kini kita anggap sebagai satu keperluan. 5

Sifat kuantitatif sains natural membolehkan para mekanik merekabentuk dan membina jambatan. Jika kamu tahu apa yang harus dibina, teknologi yang didasari pengetahuan pada sains natural adalah mencukupi. Walau bagaimanapun, persoalannya adalah: Apa yang sepatutnya dibangunkan? Apa yang seharusnya dilakukan? Teknologis tidak dapat memberikan jawaban pada persoalan ini.

Di dalam kehidupan materi pengeluaran adalah terhad. Tidak kira apa yang kita lakukan akan sentiasa ada projek lain yang mana faktor-faktor pengeluaran yang diperlukan itu tidak dapat disalurkan. Akan sentiasa ada keperluan lain yang lebih penting. Ini merupakan faktor-faktor yang diambil kira oleh niagawan di dalam membuat kira-kira pada rugi dan sukses. Apabila seorang niagawan membuat keputusan tidak meluluskan satu-satu projek disebabkan kosnya terlalu tinggi, ianya bermaksud khalayak [pengguna] tidak bersedia untuk membayar harga bagi penggunaan bahan mentah pada cara yang berkenaan. Penggunaan adalah terdiri daripada faktor-faktor pengeluaran yang tersedia bagi merealisasikan bilangan terbesar projek-projek tersebut yang memenuhi keperluan yang paling utama tanpa membazirkan faktor-faktor pengeluaran melalui penyaluran keluar daripada kegunaan yang lebih utama kepada gunatenaga yang kurang utama.

Untuk medirikan yang sedemikian, adalah perlu untuk berada pada posisi yang mengizinkan perbandingan belanjawan pelbagai faktor-faktor pengeluaran. Sebagai contoh, mari kita andaikan bahawa pembinaan landasan kereta api adalah satu keperluan bagi perhubungan di antara dua bandar—A dan B. Mari kita andaikan bahawa terdapatnya satu gunung di antara A dan B. Ada tiga kemungkinan bagi kita—sama ada untuk membina landasan di atasnya, menembusinya, ataupun mengelilinginya. Satu penyebut sepunya adalah perlu bagi mengkalkulasi nilaian perbandingan. Namun ini hanya dapat memberi gambaran mengenai situasi kewangan; ianya bukanlah pengukuran. Ianya merupakan penilaian yang menunjukkan keperluan dan situasi masa-kini. Kondisi pada masa hadapan akan berlainan sama sekali. Sukses dan kegagalan setiap projek perniagaan bergantung pada kejayaan di dalam menjangkakan kemungkinan-kemungkinan masa hadapan.

Permasalahan dengan percubaan untuk membangunkan satu sains kuantitatif ekonomi ialah terdapat ramai orang yang membayangkan bahawa teoretikal ekonomi itu harus mengikut pengevolusian cabang-cabang sains yang lain. Sains natural terbangun dari bersifat kualitatif kepada kuantitatif secara semulajadi dan kebanyakan orang cenderung untuk mempercayai bahawa corak yang sama mestilah juga berbentuk serupa di dalam ilmu ekonomi. Walau bagaimanapun, tidak ada perhubungan yang konstan di dalam ekonomi, oleh itu tiada ukuran yang berkemungkinan. Dan tanpa pengukuran, pembinaan kuantitatif ekonomi tidap dapat dijalankan. Fakta-fakta kuantitatif di dalam ekonomi terkait dengan sejarah ekonomi—bukan pada teori ekonomi.

Satu buku yang bertajuk Measurement of the Elasticity of Demand telah diulas baru-baru ini oleh seorang lelaki yang kini berada di dalam Senat U.S, Paul Douglas [1892-1976], yang mana kadangkala mungkin berharapan untuk kedudukan politikal yang lebih tinggi. Douglas berkata ekonomi harus menjadi satu sains yang tepat dengan nilaian yang tetap seperti berat atomik di dalam sains kimia. Akan tetapi, buku ini sendiri tidak merujuk pada nilaian tetap; ia merujuk pada sejarah ekonomi pada satu-satu jangkamasa waktu tertentu di dalam satu-satu negara yang khusus, iaitu United States. Rumusannya pasti akan berlainan sekiranya yang dipertimbangkan adalah jangkamasa waktu yang berbeza atau satu negara yang berlainan. Di dalam rangka kerja alam semesta di mana kita beroperasi, berat atomik tidak berubah dari satu jangkamasa waktu atau dari satu negara kepada yang lain. Sebaliknya, nilai-nilai ekonomi dan kuantiti ekonomi itu berubah dari masa ke semasa dan dari satu tempat ke satu tempat.

Ekonomi merupakan teori berkenaan tindak-tanduk manusia. Ianya merupakan fakta sejarah yang besar kepentingannya, sebagai contoh, kebergunaan kentang itu telah ditemui oleh bangsa Mexico, dibawa ke Eropah oleh budiman British, dan kegunaannnnya berkembang ke serata dunia. Fakta sejarah ini umpamanya mempunyai kesan yang begitu penting pada Ireland, namun dari sudut pandang teori ekonomi ianya hanya sekadar kebetulan.

Bila kamu memperkenalkan angka-angka ke dalam ekonomi kamu tidak lagi berada di dalam lapangan teori ekonomi, akan tetapi di dalam lapangan sejarah ekonomi. Sudah tentu, sejarah ekonomi juga merupakan satu lapangan yang penting. Statistik di dalam lapangan tindakan manusia merupakan metod kajian pensejarahan. Statistik memberikan perincirian mengenai fakta, namun ia tidak dapat membuktikan apa – apa selain daripada fakta tersebut. 6

Sesetengah orang berkemungkinan membuat interpretasi yang salah pada pernyataan-pernyataan ini dan merumus bahawa tujuan ilmu ekonomi, pada sifatnya yang berupa sains a prioristik, adalah untuk membangunkan satu program bagi sains masa hadapan, dan ilmu ekonomi itu merupakan teori yang diamalkan hanya oleh “budiman kerusi rehat”. Kedua pernyataan ini adalah salah. Ekonomi bukanlah satu program bagi sains yang belum lagi wujud. Dan ianya bukan juga sains sekadar para puris. Oleh itu, kita harus menyanggah idea-idea sebahagian manusia bahawa seseorang mesti mempelajari sejarah untuk mengkaji tindak-tanduk manusia. Sejarah adalah penting. Akan tetapi kamu tidak boleh berurusan dengan kondisi masa kini dengan pengkajian pada masa lalu. Kondisi (sentiasanya) berubah-ubah.

Sebagai contoh pada apa yang saya maksudkan. Badan Kajian Ekonomi Negara menerbitkan satu laporan pada subjek jualan ansuran yang mana muncul pada waktu-waktu menjelang Perang Dunia II, pada waktu-waktu menjelangnya inflasi, dan pada waktu-waktu menjelang perlaksanaan kawalan kredit kerajaan. Pada waktu apabila kajian itu dibuat, ia telahpun “mati”; ianya memperkatakan mengenai perkara-perkara yang telahpun berlalu. Saya tidak bermaksud mengatakan yang ianya langsung tidak berguna. Dengan akal yang baik, seseorang boleh mempelajari banyak perkara daripadanya. Namu jangan kita terlupa bahawa ianya bukanlah ekonomi—ia adalah sejarah ekonomi. Apa yang benar-benar dikaji mereka merupakan sejarah ekonomi pada masa yang baru sahaja berlalu.

Darwin juga menyedari akan perkara ini. Pada pemerhatian beliau bahawa di dalam (satu-satu) pengkajian haiwan, pada saat apabila haiwan tersebut dibedah untuk dikaji, ianya telahpun terbunuh, jesteru seseorang itu tidak dapat mengkaji haiwan tersebut dengan sebenar—seseorang itu pada swadiri tidak akan dapat mengkaji kehidupan.

Begitulah juga dengan ekonomi. Seseorang tidak dapat untuk menerangkan sistem ekonomi masa kini—seseorang hanya dapat menerangkan masa lalu. Seseorang tidak dapat meramal masa hadapan sebagai hasil pengkajian pada masa lalu. Kerapkali para sejarawan ekonomi mengajar sejarah di bawah label “ekonomi”. Walaupun kamu tahu segalanya berkenaan masa lalu, kamu tidak tahu menahu langsung tentang masa hadapan.

Bacaan lanjutan

Human Action: A Treatise on Economics (The Scholar’s Edition) oleh Ludwig von Mises – Amazon / PDF percuma

Theory and History: An Interpretation of Social and Economic EvolutionAmazon / Pdf percuma

Nota

1Lihat di dalam buku Capital and Interest, yang ditulis oleh Eugen von Böhm-Bawerk [1851-1914], Tajuk XII yang membincangkan mengenai Marx (“The Exploitation Theory” di dalam Vol. I, History and Critique of Interest Theories.)

2 Buku yang dimaksudkan di sini ialah The Two Sources of Morality and Religion (Les deux sources de la morale et de la religion) 1932. – penterjemah

3 Ataupun boleh kita terjemahkan kepada “keuntungan”. – penterjemah

4 Apa yang dimaksudkan oleh Mises dengan “psikik” ialah ianya bersifat mental. – penterjemah

5 Di dalam sistem sosialis, pensyaratan sebegini akan kembali lupus dan menjadikan kalkulasi dan pengukuran yang berkenaan mustahil.

6 Memang benar bahawa sesetengah statistikus adalah “penyeleweng fakta” dan, sebagai satu kenyataan, sebahagian statistikus di dalam kerajaan berkemungkinan dilantik sekadar untuk tujuan yang sedemikian.

Advertisements

One thought on “Manusia yang Bertindak dan Ekonomi (bhg ii)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s