Manusia yang Bertindak dan Ekonomi (bhg i)

syarahan Ludwig von Mises (1951)*

terjemahan Hadi Jaafar

Manusia secara umumnya percaya bahawa ilmu ekonomi sekadar minat golongan niagawan, jurubank, dan yang seumpama dan bahawasanya terdapat ekonomi yang terpisah untuk setiap kumpulan, segmen masyarakat, ataupun negara. Oleh kerana ilmu ekonomi merupakan perkembangan sains yang paling terbaru, tidaklah menghairankan bahawa terdapat banyak idea-idea yang tersasar mengenai makna dan pengisian pada cabang pengetahuan ini.

Ianya akan mengambil masa yang panjang untuk menunjukkan bagaimana salah faham umum ini terbangun, siapa penulis-penulis yang bertanggungjawab, dan bagaimana iklim politikal juga telah menyumbang kepada salah faham tersebut. Adalah lebih utama untuk menggariskan satu persatu salah faham ini dan membincangkan akibat-akibat yang timbul dari penerimaan khalayak terhadapnya.

Salah faham yang pertama ialah kepercayaan bahawa ilmu ekonomi tidak memperkatakan tentang kaedah kehidupan dan tindak-tanduk manusia yang sebenar, akan tetapi pada lembaga yang dicipta oleh ekonomi, bayangan yang tidak punya perbandingan ciri di dalam kehidupan sebenar. Kritikan dibuat bahawa manusia sebenar adalah berbeza daripada lembaga “manusia ekonomi”.

Setelah salah faham yang pertama ini disisihkan, salah faham yang kedua pula akan timbul—kepercayaan bahawa ilmu ekonomi menganggap bahawa manusia adalah didorong hanya oleh satu cita-cita dan niat—untuk memperbaiki kondisi materi dan kesejahteraan diri mereka sendiri. Pengkritik pada kepercayaan ini berkata bahawa tidak semua manusia itu adalah egoistik.

Salah faham yang ketiga ialah kepercayaan bahawa ilmu ekonomi merumus semua manusia itu bermunasabah, rasional, dan dipimpin hanya dengan taakulan, sedang pada kenyataannya, para pengkritik tersebut menegaskan, manusia juga berkemungkinan dipimpin oleh dorongan-dorongan “ketakrasionalan”.

Ketiga-tiga salah faham tersebut adalah didasar seluruhnya pada anggapan-anggapan yang tersasar. Ekonomi tidak membuat anggapan bahawa manusia ekonomi itu berbeza daripada jenis manusia di dalam kehidupan harian. Satu-satunya anggapan yang dibuat oleh ilmu ekonomi adalah bahawa terdapatnya pensyaratan di dalam dunia berkenaan pada di mana manusia itu tidak neutral, dan bahawa dia berkehendakkan perubahan pada satu-satu situasi melalui tindakan yang bermatlamat. Selagi manusia itu adalah neutral, di dalam ketakpedulian, tetap, tidak mengambil apa-apa tindakan, dia tidaklah bertindak. Namun apabila manusia itu memberi pengasingan di antara pelbagai keadaan perihal dan meninjau peluang bagi memperbaiki kondisi dari kacamata pandangannya, maka dia bertindak.

Tindakan merupakan pencarian bagi pembaikan kondisi daripada pandangan timbangan-timbangan nilai individual perseorangan yang berkenaan. Ini tidaklah bermaksud pembaikan dari kacamata metafizikal, mahupun dari sudut pandang Tuhan. Bidikan manusia adalah untuk mengganti pada apa yang dikiranya sebagai keadaan yang lebih memuaskan dari satu keadaan yang kurang memuaskan. Dia berusaha untuk menganti pada keadaan hal yang lebih memuaskan daripada keadaan hal yang kurang memuaskan. Dan dirinya lebih bahagia dari sebelumnya dengan kepuasan pada kehendaknya ini. Ini tidak memberi petunjuk apa-apa yang merujuk pada isi kandungan tindakan tersebut, sama ada dia bertindak atas sebab-sebab egoistik ataupun altruistik.

Bagi menghapuskan salah faham yang timbul apabila perbezaan dibuat di antara “rasionalisme” dan “ketakrasionalisme”, haruslah disedari bahawa apa yang manusia itu lakukan secara sedarnya adalah dilakukan di bawah pengaruh satu-satu daya atau kuasa yang kita namakan sebagai taakulan. Sebarang tindak tanduk yang membidik pada matlamat yang jelas adalah pada maksud ini merupakan “rasional”. Perbezaan popular di antara “rasional” dan “ketakrasionalan” adalah keseluruhannya tidak mempunyai apa-apa makna. Contoh-contoh bagi “ketakrasionalisme” yang diuar-uar adalah patriotisme atau pembelian kot baru ataupun tiket simfoni apabila sesuatu yang lain mungkin kelihatannya sebagai tindakan yang lebih munasabah. Sains teoretikal tindakan manusia membuat pra-anggapan hanya pada satu perkara—bahawa adanya tindakan, i.e., keazaman di dalam sedar individual untuk menyisih kesulitan dan untuk berganti pada keadaan hal ehwal yang lebih memuaskan bagi keadaan yang kurang memuaskan. Tiada pertimbangan nilai dibuat bagi sebab-musabab mahupun kandungan pada tindakan. Ekonomi adalah neutral. Ekonomi memperkatakan berkenaan natijah pada pertimbangan nilai, namun ekonomi pada swadirinya adalah neutral.

Tidak juga ada kemunasabahan di dalam membezakan di antara tindakan-tindakan yang “ekonomik” dan “bukan-ekonomik”. Sesetengah tindakan (manusia) adalah berhubung-kait dengan pemeliharaan pada penderiaan dan keperluan asas penting manusia itu sendiri—makanan, tempat perlindungan, dan seterusnya. Sebahagian yang lain pula dilihat sebagai sesuatu yang terdorong oleh motivasi yang “lebih tinggi”. Namun penilaian yang diletakkan pada matlamat yang pelbagai ini adalah berlainan bagi setiap manusia, dan berbeza dari masa ke semasa bagi individu yang sama. Ekonomi sekadar berurusan hanya dengan tindakan; untuk menghuraikan perbezaan pada setiap matlamat itu adalah tugasnya sejarah.

Pengetahuan kita tentang hukum ekonomi terbit dari penaakulan dan tidak dapat dipelajari dari pengalaman yang bersifat sejarah disebabkan pengalaman pensejarahan yang sentiasanya kompleks dan tidak dapat dikaji sebagaimana di dalam pengkajian makmal. Sumber bagi fakta-fakta ekonomi adalah penaakulan manusia itu sendiri, i.e., yang mana kita gelarkan di dalam epistemologi sebagai pengetahuan a priori, apa yang telahpun diketahui seseorang; pengetahuan a priori itu diasingkan dari pengetahuan a posteriori, iaitu pengetahuan yang terbit dari pengalaman.

Berkenaan dengan pengetahuan a priori, filsuf bangsa Inggeris John Locke [1632-1704] telah membangunkan teori bahawa minda manusia itu dari saat kelahirannya adalah berupa satu wadah kosong yang mana padanya dituliskan pengetahuan dari pengalaman. Beliau menyatakan bahawa tidak wujud apa yang dikenal sebagai pengetahuan yang sedia ada. Filsuf dan matematikus bangsa Jerman, Gottfried Wilhelm von Leibniz [1646-1716], membuat pengecualian bagi perihal intelek itu sendiri. Menurut Leibniz, pengalaman tidaklah mencatatkan (pengetahuan) pada kertas kosong di dalam minda manusia; terdapat satu struktur mental yang wujud di dalam minda manusia, struktur mental yang tidak wujud pada minda haiwan, yang mana ianya membenarkan untuk manusia untuk menukar pengalaman kepada pengetahuan manusia.

Saya tidak akan masuk pada pendebatan di antara “rasionalisme” dan “empirisisme<”, pencirian di antara pengalaman dan pengetahuan, yang mana ia digelar sebagai pengetahuan a prioristik oleh filsuf dan ekonomikus bangsa British, John Stuart Mill [1806-1873]. Walau bagaimanapun, bahkan Mill dan pragmatis Amerika percaya bahawa pengetahuan a prioristik itu pada satu segi terbit dari pengalaman.

Jalan di mana pengetahuan ekonomi, teori ekonomi, dan seterusnya berhubung kait pada sejarah ekonomi dan kehidupan seharian adalah serupa sebagaimana hubungan logik dan matematik pada pemahaman kita tentang sains natural. Oleh itu, dapatlah kita menyisih sikap anti-egoisme ini dan menerima kenyataan bahawa pengajaran teori ekonomi itu terbit daripada penaakulan. Logik dan matematik terbit melalui jalan yang serupa daripada penaakulan; tidak wujud apa yang dikenal sebagai eksperimen dan kajian makmal di dalam lapangan matematik. Menurut pandangan seorang matematikus, peralatan yang diperlukan oleh para matematikus hanyalah, sebatang pensil, sekeping kertas, dan bakul sampah—wahananya adalah mental.

Namun, kita harus bertanyakan, bagaimana mungkin bagi matematik, sesuatu yang dibangunkan semata dari minda manusia tanpa apa-apa rujukan pada dunia luaran dan realiti, digunakan bagi pemahaman pada dunia fizikal yang wujud dan beroperasi di luar batas minda kita? Jawaban pada persoalan ini telahpun dikemukakan oleh matematikus bangsa Perancis Henri Poincare [1854-1912] dan fizikus Albert Einstein [1879-1955]. Ekonomikus harus bertanyakan soalan yang sama tentang ilmu ekonomi. Bagaimana mungkin sesuatu yang dibangunkan secara eksklusif dari penaakulan kita sendiri, dari minda kita sendiri, waktu sedang duduk di atas kerusi rehat, dapat digunapakai bagi memahami apa yang sedang berlaku di dalam pasaran dan dunia?

Aktiviti-aktiviti setiap individual—semua tindak-tanduk—terbit dari penaakulan, sumber serupa yang mana darinya datang teori-teori kita. Tindak-tanduk manusia di dalam pasaran, di dalam kerajaan, di tempat kerja, di waktu lapangnya, di dalam proses jual-belinya, kesemuanya dipimpin oleh penaakulan, didorong dengan pilihan di antara apa yang seseorang lebih suka sebagai pertentangan pada apa yang dia tidak suka. Penaakulan merupakan metod yang mana dengannya satu penyelesaian (sama ada baik atau buruk) itu dicapai. Setiap tindakan dapat dinamakan satu pertukaran selagi ianya bermaksud penggantian satu keadaan hal ehwal pada keadaan yang lainnya. Harap-harapnya pelaku itu menggantikan satu situasi yang lebih disukainya untuk situasi lain yang kurang digemarinya.

Titik permulaan bagi sains natural itu ialah pada fakta-fakta yang pelbagai yang terbangun dari eksperimentasi. Dari fakta-fakta ini, dibina teori-teori yang lebih abstrak, yang lebih umum. Teori yang terakhir adalah terlalu abstrak sehinggakan ia secara praktikalnya tak-terujuk pada multitud umum. Itu tidaklah menjadikan ianya sebagai sesuatu yang tidak bernilai; cukuplah ianya sekadar difahami oleh beberapa saintis sahaja.

Di dalam sains a aprioristik, kita bermula dengan satu anggapan yang umum—tindakan difahami sebagai penggantian satu-satu perihal keadaan untuk keadaan yang lain. Teori ini—yang tidak bermakna [mulanya] bagi kebanyakan orang—langsung menjurus kepada gagasan-gagasan lain yang semakin lebih dimengerti dan semakin kurang pengabstrakannya.

Sains natural berkembang daripada kurang umum kepada yang lebih umum; ilmu ekonomi bergerak pada arah yang berlawanan. Sains natural adalah pada posisi bagi pembinaan hubungan magnitud yang konstan. Di dalam lapangan tindakan manusia, tidak wujud langsung apa-apa hubungan konstan, maka tidak adalah peluang untuk pengukuran. Pertimbangan nilai yang mendorong manusia untuk bertindak, langsung menjurus pada harga dan aktiviti pasaran, tidak melakukan pengukuran; ianya membina darjah – darjah yang tersendiri; ianya menggred. Ia tidak menyebut “A” adalah serupa pada, atau ianya lebih atau kurang dari “B”. Apa yang dinyatakan adalah, “Saya lebih memilih pada A dari B”. Ianya tidak membangunkan timbangan-timbangan (secara unit-penterjemah). Perkara ini telah disalah fahami selama 2000 tahun. Malahan sehingga hari ini, masih ramai orang, bahkan dari kalangan filsuf-filsuf yang hebat itu sendiri, terkeliru pada perkara ini secara sepenuhnya. Dari sistem nilaian dan pemilihan inilah terbangunnya sistem harga di dalam pasaran.

*bersambung (bhg ii)

Nota

*[Nota penterjemah] Petikan syarahan yang tajuk asalnya adalah “Acting Man and Economics” ini diterjemah dari buku himpunan syarahan Ludwig von Mises “The Free Market and Its Enemy” yang diterbitkan oleh Foundation of Economics Education, New York 2004


Advertisements

One thought on “Manusia yang Bertindak dan Ekonomi (bhg i)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s