II. Wang Di Dalam Masyarakat Merdeka (bhg 1)

Petikan bersiri dari terjemahan “What has Government Done to Our Money” nukilan Murray N. Rothbard – Hadi Jaafar (penterjemah)

1. Nilai Pada Sebuah Pertukaran

Bagaimanakah penggunaan wang itu bermula? Terang-terangan, Robinson Crusoe tidak punya keperluan terhadap wang. Dia tidak dapat menjadikan syiling emas sebagai makanannya. Tidak pula bagi Crusoe dan Friday, yang mungkin di dalam pertukaran ikan untuk kayu-kayan, perlu memikirkan tentang penggunaan wang. Namun apabila masyarakat berkembang melangkaui hanya segelintir keluarga, pentas telah pun tersedia bagi kemunculan konsep wang di dalam urusniaga.

Untuk menerangkan peranan wang (di dalam masyarakat), kita harus mengorak langkah kembali jauh ke masa lalu, dan menyoal: mengapa manusia itu mahu terbabit di dalam proses pertukaran sama sekali? Pertukaran merupakan keperluan asasi pada kehidupan ekonomi kita. Tanpa proses-proses pertukaran, tidak akan ada ekonomi di dalam ertikata yang sebenar, dan secara praktikalnya, tiadalah masyarakat. Jelas sekali, proses pertukaran yang sukarela terzahir dari kedua-dua belah pihak yang menjangka untuk memperoleh manfaat daripadanya. Proses pertukaran merupakan persetujuan di antara A dan B untuk memindahkan barangan atau perkhidmatan satu-satu manusia untuk barangan dan perkhidmatan satu-satu manusia yang lain. Sangat jelas sekali di sini bahawa kedua-duanya mendapat manfaat kerana setiap individu menilai apa yang diterimanya di dalam proses pertukaran lebih daripada apa yang telah dilepaskan. Katakanlah, apabila Crusoe, menukar sebahagian ikan untuk kayu-kayan, dia menilai kayu-kayan yang di”beli”nya lebih daripada ikan yang dia “jual”, manakala Friday, sebaliknya, menilai ikan lebih daripada kayu-kayan. Dari Aristotle hingga ke Marx, manusia telah melakukan kesilapan di dalam mempercayai bahawa satu-satu pertukaran itu telah mencatit apa-apa jenis kesamaan pada nilai–bahawasanya jika satu tong ikan ditukarkan untuk sepuluh balak, seperti ada satu kesamaan nilai yang mendasari di antara barangan tersebut. Sebenarnya, pertukaran itu dibuat hanya disebabkan setiap pihak menilai kedua-dua barangan tersebut di dalam atur susun yang berbeza.

Mengapa pertukaran itu harus menjadi begitu sejagat di kalangan umat manusia? Secara dasarnya, disebabkan oleh luasnya kerencaman pada alam tabie: keanekaragaman pada manusia, dan kepelbagaian pada lokasi sumber-sumber alam tabie. Setiap manusia mempunyai set yang berbeza pada skil dan bakat kebolehan, dan setiap plot-plot daratan memiliki ciri-cirinya yang unik, tersendiri pada sumber-sumbernya. Bermula daripada fakta tabie luaran pada keanekaragaman ini lahirlah konsep pertukaran; bijiran di Kansas untuk ditukarkan dengan besi di Minnesota; satu-satu perkhidmatan perubatan manusia untuk ditukarkan dengan satu-satu permainan violin manusia yang lainnya. Pengkhususan membenarkan manusia untuk memajukan skilnya yang terbaik, dan membenarkan setiap daerah untuk mengembangkan sumber-sumbernya yang tertentu. Sekiranya tiada siapa yang mampu untuk melakukan pertukaran, jika setiap manusia terpaksa untuk menjadi sepenuhnya mampu-diri, jelas sekali bahawa sebahagian besar daripada kita akan mati kebuluran, dan selebihnya pula akan sekadar tinggal nyawa-nyawa ikan. Pertukaran itu merupakan nadi, bukan sahaja bagi ekonomi kita, namun untuk keberadaan tamadun manusia itu sendiri.

2. Barter

Namun sekadar pertukaran langsung barangan dan perkhidmatan yang berguna hampir tidak mencukupi untuk memastikan ekonomi terus bergerak keluar dari tahap primitif. Pertukaran langsung yang sebegitu–atau barter–tidak lebih baik lagi daripada semata mampu-diri. Mengapakah yang sedemikian? Bagi satu perkara, ianya jelas bahawa sekadar kecil pengeluaran yang dapat diperkembangkan. Jika sekiranya Jones mengupah beberapa orang pekerja untuk membina sebuah rumah, dengan apa yang harus dijadikan sebagai bayaran upah mereka? Dengan sebahagian daripada rumah tersebut, atau dengan materi-materi pembinaan yang tidak dapat mereka gunakan? Ada dua permasalahan asas iaitu “ketakterbahagikan” dan “kurangnya kebetulan pada keinginan”. Oleh itu, jika Smith mempunyai (khidmat) membajak, yang dia mahu tukarkan dengan beberapa barangan berbeza–katakanlah, telur, roti dan beberapa sut pakaian–bagaimanakah caranya untuk dia melakukan hal yang sedemikian? Bagaimanakah dapat dia memecahkan khidmat membajaknya dan memberi beberapa bahagian daripada pecahan tersebut kepada petani dan beberapa bahagian yang lain kepada tukang jahit? Bahkan pada situasi di mana barangannya boleh dibahagikan, adalah sesuatu yang secara umumnya mustahil untuk dua orang yang mahu bertukar barangan untuk bertemu pada masa yang sama. Jika A mempunyai beberapa biji telur yang ingin dijual, dan B mempunyai beberapa pasang kasut, bagaimanakah mungkin untuk mereka berdua saling terbabit di dalam aktiviti pertukaran jika sekiranya A menginginkan sepasang kasut? Dan bayangkan bagaimana payahnya untuk seorang guru ekonomi yang ingin mencari pengusaha telur yang mahu membeli beberapa pengajaran ekonomi sebagai balasan untuk telur-telurnya! Jelaslah di sini, sebarang jenis ekonomi yang bertamadun menjadi sangat mustahil di bawah sistem pertukaran langsung ini.

3. Pertukaran Tak Langsung

Akan tetapi manusia, di dalam proses percubaan dan salah timbangnya, telah menemukan jalan yang membenarkannya untuk memperkembangkan ekonomi seluas-luasnya: pertukaran tak langsung. Di bawah sistem pertukaran tak langsung, kamu menjual barangan kamu bukan untuk barangan yang kamu perlukan sacara langsung, namun untuk barangan lain yang mana ianya, nanti pula akan dijual untuk barangan yang kamu mahukan. Sekali pandang, ini kelihatannya seperti operasi yang canggung dan berpusing-pusing sifatnya. Namun hakikatnya ia merupakan alat yang mengagumkan yang membenarkan tamadun untuk terus berkembang.

Pertimbangkan satu situasi di mana A, si peladang, yang ingin membeli sepasang kasut yang dibuat oleh B. Oleh kerana B tidak memerlukan telur-telur keluarannya, dia mencari barangan yang diinginkan oleh B–katakanlah ianya mentega. A kemudiannya menukar telur-telurnya dengan mentega keluaran si C, dan menjual semula mentega tersebut kepada B untuk mendapatkan sepasang kasut. Dia membeli dulu mentega tersebut bukanlah disebabkan dia berkehendakkannya secara langsung, akan tetapi kerana kebergunaannya sebagai wahana untuk memperoleh sepasang kasut yang diinginkannya. Begitu juga serupa halnya dengan Smith, yang memiliki khidmat membajak, akan menjual khidmat bajakannya untuk satu komoditi yang mana dengannya dia dapat membahagikan dan menjualnya dengan lebih mudah–katakanlah mentega–dan akan kemudiannya menukar beberapa bahagian daripada mentega tersebut untuk telur, roti, pakaian dan sebagainya. Di dalam dua situasi, keunggulan mentega–penjelasan pada di mana terdapat permintaan yang lebih terhadapnya yang melangkaui sekadar konsumsi biasa–ialah berupa sifat kebolehpasarannya yang lebih tinggi berbanding barangan lain. Jika satu barangan itu lebih tinggi tahap kebolehpasarannya daripada barangan lain–jika sekiranya setiap orang yakin bahawa ianya lebih bersedia untuk dijual–maka permintaan terhadapnya akan lebih bertambah disebabkan kebergunaannya sebagai medium pertukaran. Kebergunaannya sebagai medium adalah melalui proses di mana satu-satu pakar dapat menukar barangannya untuk barangan satu-satu pakar yang lain.

Seperti keadaannya sebagaimana di dalam alam tabie terdapat kerencaman teknik dan sumber yang begitu luas, begitulah juga dengan kerencaman pada kebolehpasaran barangan. Sesetengah barangan adalah lebih meluas permintaannya berbanding barangan lain, sesetengahnya adalah lebih mudah untuk dibahagikan kepada unit-unit yang lebih kecil tanpa penyusutan pada nilainya, sesetengah lagi lebih tahan untuk disimpan pada jangka masa yang lama, sesetengah pula lebih mudah untuk dipindahkan pada jarak perjalanan yang jauh. Kesemua kelebihan yang sedemikian merupakan kriteria bagi kebolehpasaran yang tinggi. Sememangnya jelas bahawa di dalam setiap masyarakat, barangan yang paling mudah untuk dipasarkan akan secara beransurnya dipilih sebagai media pertukaran. Semakin meluas ianya dipilih sebagai media, permintaan terhadapnya semakan meningkat disebabkan kebergunaannya, dan dengan itu ia menjadi semakin lebih mudahpasar. Hasilnya adalah pengukuhan pada pusaran: semakin tinggi nilai kebolehpasaran menyebabkan perluasan penggunaannya sebagai medium yang mana menyebabkan nilai kebolehpasaran yang lebih tinggi, dan selanjutnya. Akhirnya, satu atau dua jenis komoditi telah digunakan sebagai media umum–di dalam hampir setiap kegiatan pertukaran–dan ini adalah apa yang dikenal sebagai wang.

Mengikut sejarah, pelbagai barangan yang berbeza telah digunapakai sebagai media pertukaran: tembakau di kolonial Virginia, gula di Hindia Barat, garam di Abyssinia, katel di Greece purba, paku di Scotland, tembaga di Mesir purba, dan bijiran, manik-manik, teh, cengkerang kowri, dan matakail. Di sepanjang abad, dua jenis komoditi, emas dan perak, telah muncul sebagai wang di dalam persaingan bebas pasaran, dan telah menggantikan komoditi-komoditi lain yang telah digunapakai sebagai wang. Kedua-duanya mempunyai nilai kebolehpasaran yang unik, dan mempunyai permintaan yang tinggi sebagai barang kemas, dan memiliki nilai tinggi pada kualiti-kualiti yang diperlukan untuk dijadikan sebagai wang. Di dalam kebelakangan ini, perak, pada keberadaannya yang secara relatif lebih banyak daripada emas, telah dikenal sebagai medium yang lebih sesuai untuk pertukaran kecil-kecilan, manakala emas lebih sesuai untuk digunakan di dalam kegiatan pertukaran yang lebih besar. Walau bagaimanapun, perkara yang utama ialah walauapapun sebab-musababnya, pasaran bebas telah menganggap emas dan perak sebagai jenis wang yang paling effisien.

Proses yang sedemikian: perkembangan kumulatif medium pertukaran pada pasaran bebas–merupakan satu-satunya cara sistem wang itu dapat dibangunkan. Wang tidak dapat didatangkan dengan cara yang selainnya, tidak dengan melalui secara tiba-tibanya semua orang memutuskan untuk menempa wang dari materi yang tidak berguna, tidak juga oleh kerajaan yang memutuskan untuk menggelar kepingan kertas sebagai “wang”. Yang tertanam pada permintaan untuk wang ialah pengetahuan mengenai nilaian-wang pada masa lalu yang terdekat; sebagai bertentangan pada penggunaan secara langsung barangan-barangan pengguna atau pengeluar, wang harus memiliki nilaian prawujud yang menjadi dasar pada permintaan. Namun satu-satunya cara untuk memastikan hal sedemikian adalah melalui permulaan dengan komoditi yang berguna di bawah sistem barter, dan kemudiannya menambah permintaan untuk medium pertukaran kepada permintaan sebelumnya sebagai penggunaan secara langsung (contohnya, sebagai barang kemas, di dalam kes emas). Dengan itu, kerajaan tidak mempunyai upaya untuk menempa wang untuk ekonomi; ia hanya dapat dibangunkan melalui proses di dalam pasaran bebas.

Satu kenyataan yang paling utama mengenai wang saat ini muncul daripada diskusi kita: wang merupakan satu komoditi. Mempelajari pembelajaran yang mudah ini merupakan  tugas yang paling utama dunia. Sudah menjadi kebiasaan manusia berbicara mengenai wang sebagai sesuatu yang lebih banyak atau lebih kurang daripada yang sedemikian. Wang bukanlah satu unit akaun yang abstrak, terpisah daripada sifat barangan yang pejal; ianya bukan token yang tidak berguna sekadar barangan untuk pertukaran; ianya bukan satu “tuntutan pada masyarakat”; ianya bukan jaminan sebuah tahap harga yang tetap. Ia secara ringkasnya adalah satu komoditi. Wang berlainan daripada lain-lain komoditi sebagai barangan yang mempunyai permintaan terutamanya sebagai medium pertukaran. Namun selain daripada ini, ia adalah satu komoditi–dan, sebagaimana jenis komoditi yang lain, ia mempunyai stok yang tersedia, ia bersemuka dengan permintaan oleh orang ramai untuk membeli dan menyimpannya, sebagainya. Sebagaimana komoditi yang lain, nilaiannya–pada terma barangan-barangan yang lain–ditentukan melalui interaksi pada jumlah penawarannya, atau stok, dan jumlah permintaan oleh orang ramai untuk membeli dan menyimpannya. (Orang ramai “membeli” wang dengan menjual barangan dan perkhidmatan mereka untuk wang tersebut, sebagaimana mereka “menjual” wang apabila mereka membeli barangan dan perkhidmatan.)

4. Manfaat Wang

Kemunculan wang di dalam masyarakat merupakan satu rahmat yang besar kepada umat manusia. Tanpa wang–tanpa medium pertukaran yang umum–tidak akan ada pengkhususan kepakaran di dalam ertikata yang sebenar, tidak ada kemajuan ekonomi yang melangkaui tahap yang sekadar cukup-cukup, yang primitif. Dengan wang, permasalahan ketakbolehbahagi dan “kebetulan pada kehendak” yang  telah merundung masyarakat barter kini telah dihapuskan semuanya. Sekarang, Jones dapat mengupah dan membayar buruh-buruh dengan menggunakan…wang. Smith dapat menjual khidmat bajakannya di dalam pertukaran untuk unit-unit…wang. Komoditi-wang ini dapat dibahagikan kepada unit-unit yang kecil, dan secara umumnya dapat diterima oleh semua. Dengan itu kesemua barangan dan perkhidmatan dijual untuk mendapatkan wang, yang kemudiannya digunakan bagi membeli barangan dan perkhidmatan lain yang diinginkan oleh orang ramai. Disebabkan oleh wang, elaborasi “struktur produksi” dapat dibentuk, dengan tanah, khidmat buruh, dan barangan modal bekerjasama untuk membangun produksi pada setiap tahap dan menerima bayaran di dalam bentuk wang.

Keberadaan sistem wang juga telah menzahirkan manfaat besar yang lain. Oleh kerana semua kegiatan pertukaran dilakukan dengan wang, kesemua nisbah-pertukaran telah dizahirkan di dalam wang, begitu juga orang ramai kini dapat membandingkan nilai pasaran setiap barangan kepada setiap barangan yang lainnya. Jika sekiranya satu set TV ditukarkan untuk tiga ounce emas, dan sebuah kenderaan untuk enam puluh ounce emas, maka semua orang dapat membuat anggaran bahawa sebuah kenderaan itu mepunyai “nilai” bersamaan dengan dua puluh set TV di dalam pasaran. Nisbah-pertukaran ini adalah merupakan harga, dan komoditi-wang berfungsi sebagai penyebut-sepunya (common-denominator) untuk semua harga. Hanya keberadaan sistem harga-wang di dalam pasaran mengizinkan pembangunan ekonomi yang bertamadun, kerana ia satu-satunya sistem yang membenarkan ahli-ahli perniagaan membuat perkiraan yang ekonomikal. Ahli-ahli perniagaan kini dapat menimbangtara sejauh mana mereka telah dapat memuaskan kehendak pengguna dengan melihat perbandingan pada harga-jualan produk-produk mereka dengan harga yang harus dibayar oleh mereka untuk faktor-faktor pengeluaran (“kos” mereka). Oleh kerana kesemua harga ini dizahirkan di dalam terma-terma wang, ahli-ahli perniagaan dapat menentukan samaada mereka membuat keuntungan ataupun mendapat kerugian. Perkiraan sebegini merupakan petunjuk kepada ahli-ahli perniagaan,  buruh-buruh dan tuan-tuan tanah di dalam mencari perolehan yang bersifat kewangan di dalam pasaran. Hanya perkiraan sebegini yang mampu untuk mengagih-agihkan sumber-sumber kepada penggunaannya yang paling produktif–kebergunaannya pada yang paling memberi kepuasan kepada kehendak-kehendak pengguna.

Kebanyakan buku teks mencatatkan bahawa wang itu mempunyai beberapa fungsi: sebagai medium pertukaran, unit di dalam akaun, ataupun “timbangan nilai”, “penyimpan nilai” dan sebagainya. Namun harus dijelaskan bahawa kesemua fungsi-fungsi tersebut sekadar merupakan terbitan daripada satu fungsinya yang unggul: medium pertukaran. Disebabkan emas merupakan medium yang umum, ianya adalah mudah-pasar, ia dapat disimpan untuk berfungsi sebagai medium di masa hadapan sebagaimana di waktu sekarang, dan kesemua harga adalah dizahirkan di dalam terma-termanya. Oleh kerana emas merupakan satu komoditi untuk semua kegiatan pertukaran, ianya dapat berfungsi sebagai unit akaun bagi masa sekarang, dan harga jangkaan masa hadapan. Sangat mustahak untuk menyedari bahawa wang tidak boleh terzahir sebagai unit akaun atau tuntutan yang abstrak, melainkan setakat kebergunaannya sebagai satu medium pertukaran.

5. Unit Kewangan

Kita yang kini telahpun melihat bagaimana sistem wang itu telah muncul di dalam masyarakat, dan apa tugasannya, harus bertanyakan: Bagaimana komoditi-wang itu digunapakai? Secara terperincinya, apakah yang dimaksudkan dengan stok, atau penawaran, wang di dalam masyarakat, bagaimana ianya diurusniagakan?

Pertamanya, kebanyakan barangan fizikal nyata diperdagang di dalam terma timbangan berat. Timbangan berat merupakan unit komoditi nyata yang tersendiri, dan oleh itu proses perdagangan berlangsung di dalam terma-terma unitnya seperti tan, paun, auns, grains, gram, dan sebagainya. Emas adalah tidak berkecuali. Emas, seperti komoditi yang selainnya, akan diperdagangkan mengikut unit-unit timbangan berat.

Ianya sangat jelas bahawa saiz pada unit sepunya yang dipilih di dalam aktiviti perdagangan tidak membawa perbezaan bagi ahli ekonomi. Satu negeri yang menggunapakai sistem metrik, mungkin lebih gemar menghitung di dalam unit gram; England atau Amerika mungkin lebih senang dengan berkira-kira di dalam grain atau auns. Kesemua unit timbangan adalah bersifat saling boleh tukar di antara unit-unit; satu paun bersamaan enambelas auns; satu auns bersamaan 437.5 grains atau 28.35 gram, dan sebagainya.

Mengandaikan emas telah dipilih sebagai wang, saiz pada unit-emas di dalam kira-kira merupakan hal yang kurang penting bagi kita. Jones mungkin menjual sepasang kot untuk satu auns emas di Amerika, atau untuk 28.35 gram di Perancis; kedua-dua harga adalah sama sahaja.

Kesemua ini kelihatannya seperti usaha yang berlebihan pada menerangkan sesuatu yang sudahpun terang bersuluh, melainkan begitu banyak penderitaan di dunia yang mampu untuk dielakkan sekiranya khalayak dapat benar-benar menyedari kebenaran yang mudah ini. Hampir semua orang, contohnya, telah menganggap wang sebagai unit-unit abstrak untuk sesuatu atau lain, tiap-tiap satu secara uniknya berkait rapat pada negara tertentu. Malahan ketika negara semua berada di dalam “piawai emas”, khalayak beranggapan perkara yang serupa. Wang Amerika berupa “dollar”, Perancis berupa “franc”, Jerman “marks”, dan selainnya. Memang diakui semua matawang ini terikat pada emas, namun semua dianggap sebagai mempunyai faktor kedaulatan satu-satu kerajaan dan berdiri sendiri, oleh itu adalah mudah bagi negara-negara untuk “keluar dari piawaian emas”. Namun hakikatnya kesemua gelaran ini adalah sekadar nama yang mewakili kepada unit-unit timbangan emas dan perak.

Pada asalnya “paun sterling” British itu mewakili satu paun timbangan perak. Dan bagaimana dengan dollar? Dollar bermula sebagai nama yang secara umumnya mewakili syiling satu auns timbangan perak yang ditempa oleh seorang Bangsawan Bohemian bernama Schlick, pada abad ke 17. Bangsawan Schlick tinggal di Lembah Joachim atau Jaochimsthal. Syiling Schlick ini telah dikenal umum sebagai tempaan yang mempunyai reputasi yang hebat pada keseragaman dan keunggulan mutunya, dan ianya dikenal dengan secara meluas sebagai “Joachim’s thalers”, atau, akhirnya sebagai, “thaler”. Langsung nama “dolar” itu telah terbit daripada nama “thaler”.

Oleh yang demikian, di dalam pasaran bebas, kepelbagaian di dalam penamaan unit sebagai sekadar definasi pada unit-unit timbangan. Apabila kita berada di dalam “piawaian emas” sebelum 1933, khalayak gemar bercakap perihal bahawa “harga emas” adalah “ditetapkan pada dua puluh dolar untuk satu auns emas.” Namun ini adalah kekeliruan yang sangat bahaya pada cara melihat wang kita. Hakikatnya, “dolar” itu telah ditentukan sebagai gelaran bagi 1/20 auns emas. Oleh itu adalah sesuatu yang keliru untuk memperkatakan perihal “kadar pertukaran” satu-satu matawang negara kepada matawang negara selainnya. Satu “paun sterling” itu bukanlah benar-benar “ditukar” untuk lima “dolar”. Dolar telah ditentukan sebagai 1/20 auns emas dan paun sterling, ketika itu, telah ditetapkan sebagai nama pada 1/4 auns emas, ringkasnya diperniagakan pada 5/20 dari auns emas. Jelaslah, pertukaran sebegitu, dan melalui nama-nama yang bercampur baur, merupakan sesuatu yang mengelirukan dan tersasar. Bagaimana ianya muncul akan ditunjukkan di bawah tajuk mengenai campurtangan kerajaan pada sistem wang. Di dalam pasaran bebas yang sebenar, emas akan sekadar diperdagangkan secara langsung sebagai “gram”, grain atau auns, dan nama-nama yang mengelirukan seperti dolar, franc, dan sebagainya, tidak akan digunapakai lagi. Maka dengan itu, di dalam seksyen ini, kita akan memperlakukan wang sebagai kegiatan pertukaran secara langsungnya di dalam terma auns atau gram.

Jelas sekali, bahawa pasaran bebas akan memilih sebagai unit sepunya apa sahaja saiz pada komoditi-wang yang dikiranya paling bersesuaian. Jika platinum merupakan wang, ianya berkemungkinan akan diperdagangkan di dalam terma pecahan daripada satu auns; jika besi digunakan, ia akan diperhitung di dalam paun atau tan. Sememangnya jelas, saiz tidak memberi apa-apa perbezaan kepada ahli ekonomi.

6. Bentuk Wang

Jika sekiranya saiz dan nama bagi unit-wang sekadar membawa perbezaan ekonomik yang kecil;begitu juga bentuk pada logam kewangan. Oleh kerana komoditi merupakan wang, ini bermakna bahawa keseluruh simpanan logam tersebut, selagi ianya tersedia untuk manusia, terkandung padanya stok simpanan wang dunia. Tidak menjadi perbezaan sebenar pada apakah bentuk logam tersebut pada sebarang waktu. Jika besi merupakan wang, maka semua besi adalah wang, sama ada ianya di dalam bentuk bar, ketulan atau wujud sebagai jentera yang khusus. Emas telah diperdagangkan di dalam bentuk ketulan mentah, sebagai emas-urai di dalam kantungan, bahkan juga sebagai barang kemas.  Tidaklah menghairankan sekiranya emas, atau lain-lain jenis wang, dapat diperniagakan di dalam aneka bentuk mahupun sifat, disebabkan bahawa ciri yang paling dititikberatkan ialah pada timbangannya.

Kendatipun begitu, memang benar, satu-satu bentuk tertentu itu selalunya lebih bersesuaian (sebagai wang) daripada bentuk-bentuk yang lain. Di dalam abad-abad lalu yang terdekat, emas dan perak telah dipecahkan kepada bentuk syiling, bagi transaksi sehari-hari yang kecil, dan kepada bentuk-bentuk bar bagi transaksi yang besar. Selainnya  telah ditransformasikan kepada barang-barang kemas dan perhiasan. Sebarang jenis  transformasi dari satu bentuk kepada bentuk yang lain memakan masa, tenaga dan sumber-sumber yang lain. Melakukan kerja-kerja sebegini merupakan perniagaan yang sama sahaja seperti yang lain, dan bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan ini juga akan diperlakukan seperti kebiasaannya. Kebanyakan orang bersetuju ianya adalah sah bagi penempa barang kemas untuk menghasilkan barangan perhiasan daripada emas mentah, namun selalunya mereka menafikan perkara yang sama terhadap penempa syiling emas. Namun, di dalam pasaran bebas, tempaan syiling secara dasarnya adalah merupakan satu perniagaan sebagaimana yang lain.

Kebanyakan orang mempercayai, bahawa di dalam masa-masa piawaian emas, syiling adalah lebih kelihatan “asli” sebagai wang berbanding dengan emas “bullion” kosong dan bukan-syiling (jongkong,  bar atau lain-lain bentuk). Memang benar sangkaan sebegini bahawa syiling emas itu memiliki premium (sebagai wang) berbanding bullion, namun bukanlah disebabkan oleh apa-apa faedah yang misteri pada syiling emas itu sendiri;ianya lahir dari kenyataan bahawa kos bagi menempa syiling daripada bullion itu lebih besar daripada kos untuk mencair semula syiling emas kembali kepada bullion. Disebabkan perbezaan ini, syiling emas itu adalah lebih bernilai di dalam pasaran.

(bersambung)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s