Apa itu “Libertarianisme”? (Siri 1)

(draf awal)

Seringkali didengari salah kiraan masyarakat umum pada konsep “Libertarianisme” ini. Ada yang tersilap mentafsirkannya sebagai “libertinisme“, yakni satu falsafah yang mempromosi “hedonisme” dan kebebasan sosial mutlak individu daripada kekangan langsung kod-kod etika dan moral, yang diterajui penulis-penulis abad ke-17 dan 18 seperti penyair English John Wilmot dan penyair Perancis Marquis de Sade. Ada juga yang menyalah anggapnya sebagai satu bentuk falsafah yang menolak terus undang-undang dan norma di dalam konteks kemasyarakatan, dan terbit dari itu dakwaan bahawa Libertarian adalah atomisme, kepercayaan bahawa individu itu adalah terasing terus dari individu-individu lain. Ada juga yang mengecam golongan “libertarian” sebagai apologis dan boneka bagi puak elitis dan korporatis. Sebahagian yang lain pula menganggap Libertarianisme mendokong “ateisme” dan “materialisme” dan mahu berlepas diri dari sebarang bentuk kekangan moral dan agama. Walauapapun, bagi menjernih kekeliruan yang menyasar ini, haruslah bagi kita menerangkan di sini akan konsep dan definasi sebenar falsafah “Libertarianisme” itu.

Prinsip tanpa-kekerasan (non-aggression principle)

Jadi, apakah itu “Libertarianisme”?

Profesor Gerard Casey di dalam bukunya “Libertarian Anarchy: Against the State” telah menjelaskan definisi libertarianisme sebagai satu ‘posisi kefalsafahan dan politikal  yang mengambil aspek kepentingan asas pada kebebasan di dalam hubungan antara-manusia sebagai pendasarannya‘ (penekanan adalah daripada penulis). Atau, di dalam erti kata yang lain, ianya adalah merupakan falsafah yang menjunjung konsep asas kebebasan di dalam hubungan sosial di dalam kemasyarakatan.

Selanjutnya beliau menerangkan bahawa ‘libertarianisme sebagai satu falsafah politiko-ekonomi individualisme yang berdasarkan kepercayaan bahawa individual mempunyai hak-hak tak-terpisah (unalienable rights) untuk menjalani kehidupan mengikut corak dan bentuk yang dilihatnya sebagai bersesuaian dengan kehendak dirinya, dengan syarat ianya tidak menceroboh atau menzalimi hak-hak samarata individual yang lain’. Ini bermaksud seseorang individu itu di dalam menjalani kehidupan hariannya mempunyai kebebasan asas tanpa campur tangan dan pemaksaan mana-mana pihak perseorangan mahupun berkumpulan untuk menentukan sendiri bentuk kehidupan yang bagaimana selagi jalan yang dipilihnya itu tidak mendatangkan implikasi kezaliman dan kekerasan ke atas hak-hak setaraf individu lain. Seseorang itu boleh melakukan sebarang kegiatan, contohnya, seperti perdagangan, pertanian, dan lain-lain aktiviti dengan bebas selagi ianya tidak mendatangkan kemudaratan pada yang lain. Keterhadan pada konsep asas kebebasan tindak-tanduk manusia ini adalah apa yang dikenal sebagai “prinsip tanpa-kekerasan” – non-aggression principle atau, jika mengikut istilah yang diberi Murray N. Rothbard, “aksiom tanpa-kekerasan” –non-aggression axiom.

Maksim NAP atau non-aggression principle atau non-aggression axiom ini menyebut:

‘ bahawa tidak seorang individu ataupun sekumpulan individu yang boleh menggunapakai atau mengugut untuk menggunapakai sebarang bentuk pencerobohan, pemaksaan fizikal yang ganas (kekerasan) terhadap orang perseorangan ataupun harta pemilikan yang individu lain.’

Namun harus ditekankan di sini bahawa Libertarian hanya menolak bentuk-bentuk kekerasan dan keganasan yang bersifat serangan secara fizikal terhadap individu mahupun harta pemilikan perseorangan, contohnya seperti, mencederakan manusia lain, membunuh, merogol, mencabul dan merompak atau merampas harta pemilikan individu dan sebagainya, tetapi tidak pula menolak penggunaan kekerasan dan keganasan di dalam konteks mempertahankan diri orang perseorangan atau harta pemilikan daripada apa-apa bentuk serangan dan ancaman serangan luaran.

Libertarian juga membuat perbezaan di antara inisiasi tindakan keganasan dengan sekadar perbuatan mudarat manusia yang tidak mendatangkan kesan pada fizikal mahupun pencerobohan pada hak pemilikan peribadi individu lain. Contohnya seperti jika satu-satu individu A membuka perniagaan serupa dengan perniagaan individu B di dalam satu tempat yang sama. Sudah tentu tindakan A serba sedikit akan menjejaskan perniagaan B dan mungkin akan mendatangkan kemudaratan kepada kondisi ekonomi si B, namun ini adalah kemudaratan yang tidak ada kontradiksi dengan prinsip Libertarian, selagi A di dalam tindakannya itu tidak menggunakan apa-apa kekerasan fizikal kepada B dan perampasan harta pemilikan peribadi B secara paksaan. Begitu juga jika sekiranya Ahmad, berkehendakkan Maria sebagai isterinya dengan melamarnya, namun Maria menolak pinangan Ahmad tersebut dan sebaliknya menerima pinangan Hairil. Ini, jika dilihat dari konteks emosi tentunya mendatangkan kemudaratan terhadap Ahmad yang terang-terang akan berasa kecewa dengan penolakan oleh Maria yang lebih “menilai” Hairil tinggi daripadanya, namun ianya  sesuatu yang tidak punya merit pada perbincangan falsafah Libetarian, selagi ianya bebas dari tindakan yang melanggar prinsip-prinsip tanpa-kekerasan.

Kesamarataan dari kacamata perundangan

Selanjutnya bagi Libertarian, prinsip ini tidak mengenal perbezaan di dalam aplikasinya pada kemasyarakatan. Sama ada individu atau satu-satu kumpulan atau organisasi itu berada pada kedudukan tinggi atau rendah di dalam masyarakat, pemimpin atau yang dipimpin, yang memerintah ataupun yang diperintah, tua dan muda, lelaki atau perempuan, muslim atau kristian atau yahudi atau ateis, semuanya adalah tidak terkecuali pada pengaplikasiannya. Jesteru, undang-undang di dalam konteks masyarakat Libertarian adalah samarata terhadap semua individu. Ini adalah apa yang dikatakan sebagai konsep kesamarataan dari kacamata perundangan. Jika satu-satu individu atas perbuatan pencerobohannya pada harta pemilikan ataupun dia menyerang ganas secara fizikal terhadap satu-satu manusia lain diberi hukuman yang setimpal, maka begitu jugalah dengan kumpulan atau organisasi ataupun institusi seperti “persatuan” mahupun “kerajaan” harus dijatuhkan hukuman yang sama di atas jenayah serupa yang dilakukannya. Tidak ada undang-undang pengecualian yang boleh mengetepikan sebarang bentuk hukuman terhadap sebarang jenayah yang dilakukan kelas pemerintah terhadap subjeknya.

Jika satu-satu individu atau sekumpulan individu merompak, merampas dan menjarah secara paksa harta pemilikan satu-satu individu yang lain, jika sekiranya tertangkap, dan dijatuhkan hukuman penjara terhadapnya, maka begitu jugalah harus dikenakan hukuman yang serupa terhadap organisasi ‘penjenayah’ atau ‘parasitik’ seperti kerajaan yang terus-menerus ‘merompak’ dan ‘menjarah’ harta pemilikan individu dan organisasi persendirian untuk tujuan mengekalkan keberadaannya di atas nama yang mengaburkan ramai seperti ‘pencukaian’ dan ‘perlesenan’, juga di dalam bentuk yang mengelirukan seperti ‘inflasi kewangan’ dengan menyalur ke dalam pasaran lebihan kredit yang mengkucar-kacirkan perjalanan spontan pasaran. (Saya mengesyorkan pembaca membuat bacaan lanjutan pada subjek bagaimana campurtangan kerajaan di dalam pasaran serta manipulasinya terhadap dasar kewangan negara dengan bantuan bank pusat merupakan kecelakaan yang paling besar umat manusia moden, pada buku yang ditulis oleh Profesor Huerta de Soto “Money, Bank Credit and Economic Cycles” dan juga buku-buku Murray Rothbard seperti “The Mystery of Banking” dan “Man, Economy and State with Power and Market” dan buku-buku lain tulisan Ludwig von Mises seperti “Human Action“, “Socialism” dan “Interventionism“. Juga boleh dimuat-turun tajuk-tajuk yang diberi di atas di dalam bentuk salinan digital di Mises.org.)

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rothbard, ‘Libertarian tidak membuat apa-apa pengecualian pada pedoman penting dan tidak menawarkan jalan keluar moral, tidak ada pilih kasih, pada kerajaan’ (Myth and Truth About Libertarianism, 1980). Bagi Libertarian, pencerobohan itu adalah tetap pencerobohan, dan kezaliman itu tetap dikenal sebagai kezaliman, tidak kira jika ianya dilakukan oleh individu terhadap individu atau sekumpulan individu yang lain, ataupun organisasi yang dianggotai sekumpulan individu, seperti kerajaan, terhadap satu-satu individu atau kumpulan individu yang lain, ianya adalah pada merit yang setaraf.

Pengambilan oleh Libertarian akan etika sejagat pada isu kekerasan dan keganasan terhadap individu dan harta pemilikan peribadi dan mengaplikasikannya pada semua adalah penting di dalam memastikan konsep kebebasan individu di dalam kemasyarakatan tetap terus terjamin.

Libertarianisme dan teori moral

Lagi menurut Profesor Casey, ‘ libertarianisme bukanlah dan tidak juga ianya bertujuan, untuk menjadi, satu teori moral yang lengkap’ (Casey 2012). Atau secara ringkasnya, Libertarianisme bukanlah satu falsafah moral. Ianya tidak mengesyorkan satu-satu cara hidup. Pemahaman ringkas ini adalah penting bagi mengelakkan banyak salah faham yang timbul akibat tidak dapat memahami konsep asas ini. Murray Rothbard (The Ethics of Liberty 1982) telah menggariskan pemisahan di antara hak-hak orang perseorangan di dalam kebebasan kegiatan peribadinya pada satu sudut dan persoalan sama ada moral atau tidak moral berkenaan kegiatannya itu di satu sudut yang lain. Rothbard menulis, ‘tetapi apa yang dikira sebagai jalan yang moral atau tidak bermoral pada perlaksanaan hak-hak tersebut adalah lebih kepada persoalan etika peribadi daripada persoalan falsafah politik – yang mana ianya (Libertarianisme –tambahan penulis) lebih memberi perhatian kepada perkara yang berkenaan tentang hak, dan perlaksanaan kekerasan fizikal yang bersesuaian atau tidak bersesuaian di dalam hubungan manusia’ .Walter Block di dalam eseinya “Non-Aggression Axiom of Libertarianism” menulis, ‘..Libertarianisme merupakan satu teori yang memberi perhatian pada justifikasi penggunapakaian kekerasan, dan keganasan, berdasar pada hak-hak harta pemilikan, bukannya prinsip moral.’

Libertarian mungkin, di dalam satu-satu kegiatan individu yang tertentu, yang masih lagi tertaluk pada NAP, tidak bersetuju dan membantah dari aspek moral dan etikanya namun di dalam masa yang sama tetap menegaskan bahawa tidak ada sesiapa yang berhak untuk melakukan sebarang kekerasan dan pemaksaan dan pencerobohan ke atas individu terbabit di atas alasan perlaksanaan undang-undang mahupun “tanggungjawab sosial”. Sebagai contoh, di dalam kes penggunaan dadah seperti marijuana ataupun kokain, Libertarian sebahagiannya tentu sahaja akan mengatakan bahan-bahan yang digunakan di dalam penagihan dadah tersebut adalah memudaratkan kesihatan dan membantah kegiatannya (di dalam konteks NAP) atas dasar prinsip moral namun di dalam masa yang sama tidak akan menjustifikasikan sebarang bentuk kekerasan fizikal ataupun pencerobohan pada pemilikan peribadi individu-individu yang terbabit di atas nama undang-undang, oleh kerana penggunaan dadah adalah bentuk aktiviti kebebasan peribadi ke atas tubuh fizikalnya sendiri tanpa membawa mudarat ke atas individu yang lain. Satu – satunya justifikasi kekerasan dan keganasan ke atas individu-individu ini ialah apabila mereka mula melakukan kegiatan-kegiatan pencerobohan terhadap pemilikan peribadi individu yang lain ataupun kekerasan dan keganasan fizikal yang bersifat sebagai serangan ke atas individu-individu yang lain.

Jelas di sini bahawa Libertarianisme bukanlah apa-apa yang berkenaan persoalan sama ada satu-satu perbuatan individu atau sekumpulan individu di dalam menjalankan hak-hak kebebasannya itu adalah secara moral ataupun tidak bermoral, tetapi ianya adalah sebagai falsafah politik yang memberi tumpuan kepada konsep-konsep kebebasan asas hubungan sesama manusia di dalam kemasyarakatan.

(bersambung..)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s